Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Annuar Musa tawar diri jadi Presiden FAM


Minat sentiasa ada (dalam bola sepak dan FAM) tetapi kalau ada yang saya rasa boleh jaga FAM dengan lebih baik, tidak perlu saya berebut. Kalau tanya saya, TMJ layak...beliau boleh membawa satu perubahan besar kepada bola sepak Malaysia. Tetapi, TMJ tidak dapat bekerja bersendirian, beliau perlu membentuk satu pasukan kerja yang baik dan ikhlas. Namun, jika TMJ tidak sanggup ambil alih FAM seperti yang beliau katakan sebelum ini, saya sedia tawarkan diri.


BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa),  Tan Sri Annuar Musa secara terbuka menawarkan diri menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).    

Namun, Annuar yang juga bekas Timbalan Presiden FAM sebelum ini, berkata jika ada individu lebih layak seperti Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau tidak mahu berebut jawatan tersebut.    

"Minat sentiasa ada (dalam bola sepak dan FAM) tetapi kalau ada yang saya rasa boleh jaga FAM dengan lebih baik, tidak perlu saya berebut. Kalau tanya saya, TMJ layak...beliau boleh membawa satu perubahan besar kepada bola sepak Malaysia.

"Tetapi, TMJ tidak dapat bekerja bersendirian, beliau perlu membentuk satu pasukan kerja yang baik dan ikhlas. Namun, jika TMJ tidak sanggup ambil alih FAM seperti yang beliau katakan sebelum ini, saya sedia tawarkan diri," katanya.    

Annuar yang ditemui Bernama di pejabatnya di Bangunan Mara, berkata beliau perlu mendapatkan sokongan daripada anggota gabungan dan perwakilan FAM pada Kongres FAM ke-53, Mac depan, jika mahu meneruskan niatnya itu.

FAM sebelum ini, mengesahkan Kongres FAM itu adalah bagi mengadakan sesi pemilihan presiden baharu badan induk tersebut, dan nama calon yang ingin bertanding perlu dihantar selewat-lewatnya 23 Januari depan, sebelum senarai akhir dikeluarkan pada 20 Februari lalu.

Semua jawatan akan dibuka untuk pemilihan yang baharu bagi sesi 2017-2021.    

Sebelum ini, antara calon yang menjadi sebutan mengisi jawatan tertinggi badan induk kebangsaan itu ialah TMJ, Tan Sri Tony Fernandes dan Tan Sri Aseh Che Mat.     

Annuar yang baru sahaja melepaskan jawatan Presiden Kafa minggu lepas, mengakui menguruskan sesebuah persatuan bola sepak adalah tidak mudah, namun terdapat banyak perbezaan antara menguruskan persatuan negeri dan persatuan kebangsaan.    

Beliau mengakui antara puncanya melepaskan jawatan Presiden Kafa berikutan masalah kewangan persatuan negeri itu, namun menurutnya FAM berbeza dengan Kafa di mana kewangan bukan masalah utama bagi badan induk kebangsaan tersebut.         

"Sebagai contoh, di Kafa tidak ada orang yang menolong, jadi saya kena cari duit berbelas juta setiap musim tapi di peringkat kebangsaan, masalah FAM tidak besar sebab liga itu sendiri kalau diuruskan dengan baik memang boleh menjana pendapatan sehingga RM50 ke RM70 juta setahun.     

"Kewangan bukan masalah dalam FAM tetapi cabaran sebenar ialah kepimpinan dan juga pelan induk FAM sendiri untuk memperbaiki mutu bola sepak dan penambahbaikan skuad negara secara jangka panjang," katanya.    

Menurutnya, soal remeh seperti menggantikan jurulatih baharu tidak mampu mengubah bola sepak kebangsaan sebaliknya ia memerlukan perubahan yang besar pada corak permainan skuad Harimau Malaysia.    

Ditanya sama ada perlu anggota Exco FAM diubah sepenuhnya pada musim hadapan, Annuar menegaskan Exco FAM sendiri sebelum ini sudah menyatakan keputusan mereka untuk melepaskan jawatan jika Tengku Abdullah tidak menjadi presiden badan induk itu lagi.     

"Bila kata mereka nak melepaskan jawatan sudah tentu mereka membuat keputusan secara kolektif. Seelok-eloknya tidak usah pegang jawatan dalam kepimpinan baharu nanti. Ia sudah bercanggah.     

"Bagi saya mereka perlu rehat sekejap dan biar orang yang tidak berada dalam kepimpinan sekarang membentuk satu pasukan baharu dan mengendalikan FAM supaya dari situ kita boleh lihat sama ada berlaku perubahan atau pun tidak," katanya. - Bernama

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/sukan/annuar-musa-tawar-diri-jadi-presiden-fam-1.590839

Gambar: http://www.thestar.com.my/~/media/online/2016/02/15/11/05/annuar-musa-1502.ashx/