Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Pelarian Rohingya Dihalang Memasuki Bangladesh



Sejumlah umat Islam Rohingya cuba melarikan diri ke Bangladesh akibat kekejaman yang semakin meruncing di barat Myanmar
Oleh: Asmaa Yusof
Sejumlah umat Islam Rohingya cuba melarikan diri ke Bangladesh akibat kekejaman yang semakin meruncing di barat Myanmar. Demikian menurut penduduk dan pegawai tentera Bangladesh dipetik dari berita Al-Jazeera bertarikh 17 November.
Agensi berita Reuters turut melaporkan situasi yang sama Rabu lalu dengan menyatakan sebahagian penduduk Rohingya ditembak semasa cuba melarikan diri menyeberangi Sungai Naaf yang memisahkan antara Myanmar dan Bangladesh manakala pelarian yang dapat sampai ke seberang pula dihalang pengawal sempadan Bangladesh dari memasuki negara itu.
Al-Jazeera turut dipetik berkata jumlah mangsa korban serangan terbaru berjumlah 130 orang; menyaksikan siri pertumpahan darah paling serius selepas perselisihan di barat Rakhine yang mengorbankan ratusan nyawa empat tahun lalu.
Krisis tersebut membuktikan kegagalan pengawasan tentera di bawah pentadbiran pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, yang menaiki tampuk pemerintahan sejak tujuh bulan lalu.
Operasi ganas yang berlarutan lebih seminggu serta menggunakan helikopter itu merupakan serangan balas selepas sembilan pegawai polis dilaporkan terbunuh dalam serangan terhadap tiga pos sempadan pada 9 Oktober lalu.
Pihak tentera turut menutup pintu masuk ke wilayah bergolak yang diduduki majoriti etnik Rohingya dan menghalang bantuan dan pemerhati daripada memasuki wilayah itu. Menurut sumber sama, sekitar 500 orang pelarian etnik Rohingya telah melarikan diri sejak serangan Oktober lalu.
Artikel Penuh: http://ulamasedunia.org/2016/11/22/pelarian-rohingya-dihalang-memasuki-bangladesh/