Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Khutbah Jumaat TGHA - Kewafatan Rasulullah SAW

Bukan sahaja mereka menerima berita yang sedih, bahkan mereka mengalami ancaman yang sangat dahsyat apabila sebahagian besar qabilah-qabilah Arab yang sudah masuk Islam murtad dan mengangkat senjata untuk menghapuskan Islam
KIRIMAN PEMBACA.

Khutbah Jumaat
Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Peringatan Kewafatan Rasulullah SAW
23 Rabiul Awal 1438 (23/12/2016)

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِي لَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدٗا وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ شَرِيكٞ فِي ٱلۡمُلۡكِ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ وَلِيّٞ مِّنَ ٱلذُّلِّۖ وَكَبِّرۡهُ تَكۡبِيرًا. أَشۡهَدُ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحۡدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُۥ، لَهُ الۡمُلۡكُ وَلَهُ الۡحَمۡدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيۡءٍ قَدِيرٌ. وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبۡدُهُۥ وَرَسُولُهُۥ، الۡبَدۡرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الۡمُنِيرِ.  اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ وَبَارِكۡ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدۡوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحۡمَةِ وَشَفِيعِ ٱلۡأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ وَمَنۡ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُۥ وَوَالَاهُۥ.

أَمَّا بَعۡدُ:

فَيَا عِبَادَ ٱللَّهِ، ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَى، فَقَدۡ فَازَ ٱلۡمُتَّقُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertakwa. Maka demi sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setelah kita memperingati peristiwa kelahiran Rasulullah  صلى الله عليه وسلم, marilah pula kita mengambil peringatan dengan kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Peristiwa kewafatan itu menjadi ujian yang sangat dahsyat dihadapi oleh para sahabat رضى الله عنهم yang sedang bergembira dengan kemenangan Islam setelah Makkah dapat dibebaskan daripada jahiliyyah, qabilah-qabilah Arab berduyun-duyun menyerah diri dan manganut agama Islam. Kemenangan itu sangat menggembirakan. Tiba-tiba Allah سبحانه وتعالى telah menguji generasi awal umat Islam. Para sahabat رضى الله عنهم  menghadapi peristiwa kewafatan Rasulullah  صلى الله عليه وسلم.

Bukan sahaja mereka menerima berita yang sedih, bahkan mereka mengalami ancaman yang sangat dahsyat apabila sebahagian besar qabilah-qabilah Arab yang sudah masuk Islam murtad (keluar daripada agama Islam) dan mengangkat senjata untuk menghapuskan Islam yang berpusat di Makkah dan di Madinah. Kalangan orang-orang murtad ini disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia Parsi dan Rom yang menganggap Islam adalah bahaya bagi mereka. Pada adatnya cahaya Islam dapat dipadamkan, tetapi Allah سبحان وتعالى menjanjikan ;

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ [سورة الـصّـف : ٨]


(Maksud-Nya) : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Disaat yang sangat mencabar ini, Abu Bakar As-Siddiq رضى الله عنه menunjukkan ketokohan dan kehebatannya mengganti dan memimpin negara selepas wafatnya Rasulullah  صلى الله عليه وسلم. Ketika semua para sahabat dalam kesedihan dan kebingungan, Abu Bakar رضى الله عنه bangkit menyampaikan ucapan di Masjid Nabawi yang antara lain mengatakan :

اَيُّهَا النَّاسُ، فَمَنۡ كَانَ مِنۡكُمۡ يَعۡبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدۡ مَاتَ. وَمَنۡ كَانَ يَعۡبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ. وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٞ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِهِ ٱلرُّسُلُۚ أَفَإِيْن مَّاتَ أَوۡ قُتِلَ ٱنقَلَبۡتُمۡ عَلَىٰٓ أَعۡقَٰبِكُمۡۚ وَمَن يَنقَلِبۡ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ فَلَن يَضُرَّ ٱللَّهَ شَيۡ‍ٔٗاۗ وَسَيَجۡزِي ٱللَّهُ ٱلشَّٰكِرِينَ.

(Maksudnya) : Wahai manusia, sesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad sudah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, Allah itu maha hidup, yidak mati sekali-kali dan muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau bertaubat). Jika demikian, kalau dia pula mati atau bertaubat, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) ? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu.)

Abu Bakar رضى الله عنه yang dilantik menjadi khalifah yang pertama menyusun bala tentera menghadapai kabilah-kabilah yang murtad. Para sahabat رضى الله عنهم mengalahkan kumpulan yang murtad, termasuk yang diragui kemurtadannya apabila mereka mengatakan zakat tidak wajib, tetapi mereka masih mendirikan sembahyang. Mereka menentang pusat kerajaan Islam di Madinah. Bala tentera Islam yang diutuskan untuk memerangi kawasan itu sebelum melancarkan peperangan mendengar azan subuh yang dikumandangkan. Demi mendengar azan itu, mereka menjadi ragu untuk menghadapi kalangan yang masih bersembahyang itu. Lalu mereka pulang ke Madinah menemui khalifah Rasulullah  صلى الله عليه وسلم. Abu Bakar رضى الله عنه mengatakan, sesungguhnya Nabi  صلى الله عليه وسلم telah bersabda :

أُمِرۡتُ أَنۡ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشۡهَدُوا أَنۡ لَا إِلَٰـهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤۡتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَٰلِكَ عَصَمُوا مِنِّى دِمَاءَهُمۡ وَأَمۡوَالَهُمۡ إِلَّا بِحَقِّ الۡإِسۡلَامِ وَحِسَابُهُمۡ عَلَى اللَّهِ. [رواه البخاري ومسلم]

(Maksudnya) : Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, sehingga mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka telah bertaubat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak Islam, dan hisab peritungan amal dengan terserah kepada Allah.

Abu Bakar رضى الله عنه menegaskan: Sesungguhnya mereka telah membatalkan hak Allah yang diwajibkan kepada mereka. Sesungguhnya jika mereka menafikan hak yang diberi ileh Allah walaupun seharga tali wanita yang kecil dan murah, nescaya aku memeranginya.

Maka para sahabat bangkit memerangi orang-orang yang murtad itu. Ia berakhir dengan Allah menyelamatkan Islam setelah pemerintahan diganti oleh pemimpin Umar Al-Khattab رضى الله عنه dan sahabat-sahabat yang kemudian daripadanya, Uthman dan Ali رضى الله عنهم.

Allah سبحانه وتعالى mengurniakan kemenangan menumbangkan dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Islam berkembang ke seluruh pelusuk dunia, Timur dan Barat menjadi kuasa besar yang tunggal. Allah سبحانه وتعالى menjadikan kehidupan dunia ini mengalami pasang dan surut, rebah dan bangun, menang dan kalah.

Di zaman kerajaan Abasiyah, umat Islma mengalami serangan pemikiran. Lahirnya falsafah yang mencipta ajaran-ajaran yang merosakkan akidah umat Islam. Lebih membahayakan, ajaran ini dianuti oleh khalifah-khalifah Islam sendiri yang menjadi fahaman yang dianuti oleh negara. Allah سبحانه وتعالى menyelamatkan dengan bangkitkan ulama-ulama Islam. Walaupun ulama-ulama ini dihukum pancung, tetapi mereka silih berganti mempertahankan Islam. Ia berakhir dengan ajaran Islam yang sebenar diselamatkan oleh Allah سبحانه وتعالى.

Di zaman mutakhir yang dialami oleh kita pada hari ini kejatuhan kuasa besar pemerintahan Islam meneyebabkan tanah air umat Islam dijajah oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam dilemah dan dilumpuhkan serta dilaga-lagakan dan diratah oleh musuh Islam. Berlaku apa yang dinyatakan oleh Nabi  صلى الله عليه وسلم :

يُوشِكُ الۡأُمَمُ أَنۡ تَدَاعَى عَلَيۡكُمۡ كَمَا تَدَاعَى الۡأَكَلَةُ إِلَى قَصۡعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنۡ قِلَّةٍ نَحۡنُ يَوۡمَئِذٍ قَالَ بَلۡ أَنۡتُمۡ يَوۡمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمۡ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيۡلِ وَلَيَنۡزِعَنَّ اللَّهُ مِنۡ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الۡمَهَابَةَ مِنۡكُمۡ وَلَيَقۡذِفَنَّ اللَّهُ فِى قُلُوبِكُمُ الۡوَهَنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الۡوَهَنُ قَالَ حُبُّ الدُّنۡيَا وَكَرَاهِيَةُ الۡمَوۡتِ. [رواه أبو داود]

(Maksudnya) : Umat lain akan mengelilingi dan meratah kamu laksana orang-orang yang mengelilingi hidangan makanan yang lazat. Lalu sahabat bertanya : Adakah bilangan kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah  صلى الله عليه وسلم : bahkan jumlah kamu ramai pada hari itu, tetapi kamu seperti بؤية yang dihanyutkan air banjir dan Allah menghilangkan dari dada musuh kamu terhadap kehebatan kamu dan Allah campakkan ke dalam hati-hati kamu penyakit الوهن. Lalu sahabat bertanya : Apakah الوهن itu , wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah  صلى الله عليه وسلم : kasihkan dunia dan bencikan mati.

Inilah penyakit yang melanda umat Islam di zaman mutakhir sehingga mereka diratah dan dimamah oleh musuh-musuh mereka diseluruh pelusuk dunia. Namun Allah سبحانه وتعالى tidak mengizinkan cahaya Islam dipadamkan. Hanya mereka yang bersama Islam sahaja yang selamat yang sanggup rebah dan bangun bersama Islam serta tenggelam timbul bersama dengan Islam. Mereka yang menyeleweng daripada Islam yang melarikan diri dimasa surut atau dimasa Islam dalam keadaan lemah, tidak selamat di dunia dan tidak akan selamat di hari akhirat.

Marilah kita bersama dengan Islam, pasak yang ditinggalkan oleh Rasulullah  صلى الله عليه وسلم.

أَعُوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَانِ ٱلرَّجِيمِ.

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٣٣ [سورة التوبة : ٣٣]

(Maksud-Nya) : Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

بَارَكَ ٱللَّهُ لِي وَلَكُمۡ  بِٱلۡكِتَابِ وَٱلسُّنَةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمۡ بِٱلۡآيَاتِ وَٱلۡحِكۡمَةِ. أَقُولُ قَوۡلِى هَٰذَا وَاَسۡتَغۡفِرُ ٱللَّهَ ٱلۡعَظِيمَ لِي وَلَكُمۡ وَلِسَائِرِ ٱلۡمُسۡلِمِينَ وَٱلۡمُسۡلِمَاتِ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ.


Sumber: https://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/10401-khutbah-jumaat-peringatan-kewafatan-rasulullah-saw