Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Dikatakan PAS kalah teruk.



Jika PAS tidak dikhianati, lebih cepat BN dicampakkan ke longkang, lebih cepat pemulihan nasional dapat dilakukan, lebih cepat rasuah dapat dihapuskan dan perkauman diminimumkan. Jika PAS tidak dikacau, tidaklah diramalkan Lim Kit Siang akan mati sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi dia tidak akan mati sebagai pembangkang juga. Dia mungkin mati sebagai menteri kanan. Jika PAS kalah teruk, jangan fikir orang yang lari dari PAS akan bernasib lebih baik dari PAS. Parti yang  tidak bersama PAS lagi pun akan sama-sama susah dan yang meninggalkan Umno juga tidak dapat apa yang diburu.

Oleh: SUBKY LATIF | 28 Januari 2017.

DIKATAKAN lagi, kali ini oleh pelarian PAS bahawa PAS akan kalah teruk dalam PRU yang akan tiba nanti.
      
Ia bukan cabaran baru yang PAS dengar, malah ia berpatah arang dengan DAP, pimpinan DAP sudah meramalkan PAS tidak akan dapat mengekalkan kebanyakan kerusinya yang dimenangi dalam PRU13.
      
Cuma yang terbaru itu disebarkan atas dapatan kaji selidik terkini PAS akan kalah teruk juga. Khabaran demikian telah PAS maklumi lama dan ia sedia hadapi cabaran itu. 
      
Adalah baik PAS mendengarnya dan bersedia menghadapinya. Ia lebih baik dari dikatakan ia akan menang besar dan bakal merampas kerajaan pusat, tiba-tiba ia kalah teruk. Jika ia dikatakan kalah teruk dan benar ia kalah teruk, maka ia sudah bersedia dan tidak terkesan sangat akan kemungkinannya. Jika ia diberi harapan tinggi, yang boleh  menjadikan ia leka, tiba-tiba tidak jadi bagai yang dikata, kesannya lalu tidak terkira.
      
Dengan semua kata-kata pelemah semangat itu, PAS bersedia dan tidak terkejut jika ia  tinggal satu kerusi saja di Parlimen seperti yang dialaminya dalam PRU 1955 dan PRU 1986. 
     
Selepas ia dapat satu tahun 1955, tahun 1959 ia dapat 13 dan dua kerajaan negeri, Kelantan dan Terengganu. Selepas tinggal satu saja tahun 1986, ia rampas semula Kelantan bersama S46 tahun 1990. Atas nama Perpaduan Ummah ia sapu bersih kerusi Dun dan Parlimen Kelantan.
      
Jangan semua sedap sangka PAS saja yang bakal kalah teruk. Ingat sama apa Pak Pandir kata, ‘Bukan Andih saja kematian anak!’
      
Jika PAS bernasib teruk, lain-lain pembangkang juga akan teruk sama, bahkan lebih teruk. Mungkin DAP saja tidak seteruk yang lain. Kemungkinan teruk juga. Jika PAS tidak dikacau dan berlapang dada dengan perjuangan PAS yang antaranya menegakkan hudud, semuanya berhadapan tinggi membuat kejayaan yang lebih baik dari PRU13.
      
Jika PAS tidak dikhianati, lebih cepat BN dicampakkan ke longkang, lebih cepat pemulihan nasional dapat dilakukan, lebih cepat rasuah dapat dihapuskan dan perkauman diminimumkan. Jika PAS tidak dikacau, tidaklah diramalkan Lim Kit Siang akan mati sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi dia tidak akan mati sebagai pembangkang juga. Dia mungkin mati sebagai menteri kanan.
       
Jika PAS kalah teruk, jangan fikir orang yang lari dari PAS akan bernasib lebih baik dari PAS. Parti yang  tidak bersama PAS lagi pun akan sama-sama susah dan yang meninggalkan Umno juga tidak dapat apa yanag diburu.
     
Jika PAS kalah, ia kalah kerana mempertahankan perjuangan. Orang yang mempertahankan perjuangan jika kalah tidak dikira kalah. Gugur mempertahankan Islam tidak dikira gugur tapi hidup terus. Yang benar-benar kalah ialah yang meninggalkan perjuangan.
      
Mengapa semua sangka PAS akan kalah teruk? Kerana PAS dirasa dan disangka mulai jadi golongan yang sedikit. Dalam demokrasi golongan yang sedikit golongan yang kalah.
      
Sekalipun Islam mahu menjadi umat yang teramai, tetapi Islam juga memberi kedudukan mulia kepada golongan yang sedikit, bahkan menyeru supaya jadilah golongan yang sedikit. Yang bangkit solat malam adalah sedikit. Yang banyak solat dan puasa sunat adalah sedikit. Yang mencebur diri dalam jihad Islami juga sedikit. Yang bersama PAS, tidak Umno adalah sedikit.
      
Moga-moga PAS dimasukkan dalam golongan yang sedikit yang dimaksudkan, jangan jadi golongan terbanyak tapi laksana buih di laut dan jadi orang ikut-ikutan.
      
Golongan yang sedikit inilah yang menumbangkan tentera Jalut dan yang memukul teruk musyrikin dalam Perang Badar. -