Kanak-Kanak Tanpa Sijil Lahir Berhak Dapat Peluang Belajar
Semua kanak-kanak di Kedah berhak mendapat pendidikan sekolah rendah walaupun tidak memiliki sijil kelahiran seperti diputuskan oleh Kementerian Pendidikan, namun ada borang khusus yang perlu diisi oleh waris.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata semua kanak-kanak di negeri itu berhak mendapat pendidikan sekolah rendah walaupun tidak memiliki sijil kelahiran.
Beliau berkata perkara itu sudah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan dan arahan sudahpun dikeluarkan.
“Kita faham ada kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran atas beberapa sebab, namun ada borang khusus yang perlu diisi oleh waris,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Peserta Felcra Pulau Belantek dan Bandar Beris Jaya, di Sik semalam.
Beliau diminta mengulas kes seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Changlun yang tidak dapat mendaftar di sekolah semasa sesi persekolahan 2017 bermula Ahad lepas kerana tidak memiliki sijil kelahiran.
Ahmad Bashah tidak menolak kemungkinan ada pejabat pendidikan daerah di negeri itu yang tidak menerima arahan Kementerian Pendidikan berkenaan.
Sementara itu, kanak-kanak tersebut dilaporkan tidak dapat bersekolah disebabkan status kewarganegaraannya akan mula belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yit Min di Changlun Ahad ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin berkata, keputusan itu hasil perbincangan antara Jabatan Pendidikan Daerah Kubang Pasu dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.
Kerajaan negeri tidak akan membiarkan Yao Chun (kanak-kanak berkenaan) tidak bersekolah.
“Apa yang kita mahu agar pihak waris terus berurusan dengan pihak berkaitan untuk mendaftarkan dia sebagai warganegara Malaysia,” katanya ketika mengunjungi rumah kanak-kanak itu di Taman Sayang semalam.
Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju menyumbang pakaian seragam, peralatan menulis, dan buku serta bayaran yuran awal persekolahan.
Usaha sedang dibuat bagi mempercepatkan proses status kewarganegaraan beliau dengan Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya.
Sementara itu, nenek Yao Chun, Rose Mary Chin, 77, berkata, beliau bersyukur kerana cita-citanya selama ini untuk melihat cucunya itu bersekolah akhirnya tercapai.
Rose Mary berkata, masalah itu timbul apabila Yao Chun yang dilahirkan pada 29 Ogos 2009 oleh ibunya yang juga warga Myanmar, gagal didaftarkan kelahirannya oleh bapanya yang merupakan rakyat Malaysia berusia 42 tahun di Kedutaan Malaysia di Thailand sebelum menghilangkan diri.
“Ekoran itu, Yao Chun diserahkan oleh dua wanita dipercayai warga Thailand yang tidak dikenali datang ke rumah saya bersama-sama dengan sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh Hospital Hatyai.
“Mendakwa anak saya (bapa Yao Chun) telah menghilangkan diri dan mengambil keputusan untuk menyerahkan anak itu kepada saya, saya terima kerana dia cucu saya,” katanya.
Rose Mary kemudian cuba mendaftar cucunya itu dengan Jabatan Pendaftaran Negara negeri ini, tetapi permohonannya ditolak disebabkan sijil kelahiran cucunya itu tidak didaftarkan di Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand.
Beliau kemudian ke Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand tetapi tidak dapat melengkapkan proses permohonan tersebut kerana bapa Yao Chun tidak hadir dan menghilangkan diri.
“Inilah yang menyebabkan Yao Chun tidak dapat didaftarkan ke sekolah hingga hari ini walaupun sudah dua tahun dia belajar tuisyen di sekolah swasta,” katanya.
– Bernama
Post a Comment