Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

KSU KKLW: Penemuan Terbaharu Wang Tunai, Emas Bernilai RM2.6 Juta

KSU dan kedua-dua anaknya itu ditahan reman tujuh hari bermula Khamis sehingga 11 Januari bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui lagi beberapa kilogram emas dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM2.6 juta susulan penahanan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Mohd Arif Ab Rahman.

Menurut sumber, sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka peti simpanan deposit di sebuah bank pada hari Khamis dan merampas kira-kira 8 kilogram emas bernilai RM1.6 juta.

Selain itu, beberapa buah peti simpanan deposit wang tunai bernilai RM1 juta termasuk AUD80,000 turut dirampas di beberapa buah bank yang lain.

"Kami juga merampas kenderaan pelbagai guna - sebuah Toyota Estima - yang dimiliki anak suspek di rumahnya di Subang Jaya.

"Rekod kami menunjukkan terdapat lebih daripada 10 lot tanah yang didaftarkan di bawah nama keluarganya di sekitar Lembah Klang," tambah sumber itu.

Nilai tanah ini masih belum ditentukan dan SPRM masih menjalani siasatan sekiranya harta tanah itu dikumpul  melalui cara rasuah.

SPRM juga akan akan berhubung dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan sama ada Datuk  pernah mengelak membayar apa-apa cukai sejak 2010.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat.

Bagaimanapun, Azam berkata, lebih ramai saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan ini.

Pada Rabu, SPRM menahan Mohd Arif di rumahnya ketika beliau bersiap sedia untuk pergi ke tempat kerja.

Azam mengesahkan penahanan tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawainya.

Mohd Arif ditahan di rumahnya di USJ3, Subang Jaya, manakala dua anaknya ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas mereka dipanggil untuk disoal siasat.

Beberapa pegawai yang bertugas menjalankan carian selama 12 jam di rumah Mohd Arif telah menemui jongkong emas, 150 beg tangan mewah, jam tangan berjenama dan mata wang asing.

Jongkong emas dan mata wang Australia dan Euro yang dirampas dianggarkan bernilai RM3 juta.

Manakala beg tangan yang dirampas berjenama Chanel, Hermes, Dior, Louis Vuitton dan Gucci.

Harga bagi beberapa buah beg tangan ini bernilai di antara RM7,000 hingga RM100,000 setiap satu.

KSU dan kedua-dua anaknya itu ditahan reman tujuh hari bermula Khamis sehingga 11 Januari bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan
kedudukannya untuk menerima rasuah.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/01/05/sprm-tahan-ksu-kementerian/


Foto - Bernama