Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Mereka kena ikut PAS kalau hendak bekerjasama, kata TGHH

Kita adalah parti paling lama dalam kalangan parti-parti pembangkang. Mengalami peristiwa rebah dan bangun, kita mengalaminya sebab itu orang lain tak boleh ajar kita dalam politik.


SHAH ALAM: Mana-mana parti yang mahu menjalin kerjasama PAS, perlu mengikut 'rentak' parti itu, demikian syarat yang diletakkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengambil kira PAS sudah bertapak lama di negara ini, Hadi menambah parti-parti lain tidak merasa pelbagai pengalaman pahit dan manis yang dilaluinya selama ini.

"Kita adalah parti paling lama dalam kalangan parti-parti pembangkang. Mengalami peristiwa rebah dan bangun dari hanya satu kerusi, kemudian ada (menang) negeri, kosong kerusi, kemudian dapat semula seperti di Terengganu, Kedah dan Kelantan.

"Parti-parti lain tak pernah mengalami pengalaman begini. Kita mengalaminya sebab itu orang lain tak boleh ajar kita dalam politik. Kita lebih matang dari orang lain.

"Mereka kena ikut PAS kalau hendak bekerjasama," ujar Hadi ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Himpunan Muslimat Muda di Shah Alam, pagi tadi.

Reaksi itu diberikan Ahli Parlimen Marang selepas diajukan sama ada PAS sebagai penentu kejayaan pembangkang dalam pilihan raya akan datang, selepas banyak pihak dilihat berminat untuk menjalin kerjasama politik dengan parti itu.

PAS kini hanya bertahaluf siyasi bersama PKR selepas ia tidak lagi menganggotai Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga menyatakan kesudiannya untuk bekerjasama dengan PAS, malah mahu menjadi jambatan hubungan parti itu dengan parti-parti pembangkang yang lain dalam memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 nanti.

Hadi menegaskan, PAS tidak akan menjadi 'anak tangga' kepada parti lain demi mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang.

"Kalau mereka tahu kekuatan PAS, mereka tak boleh pandang ringan kepada PAS. PAS tidak boleh menjadi anak tangga sahaja, tidak boleh," tegas Hadi lagi.

Bagaimanapun pandangan dua pemimpin tertinggi PPBM dalam isu kerjasamanya dengan PAS seolah tidak senada.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menggambarkan PAS sebagai sebuah parti yang mungkin menjadi pemecahbelah undi pembangkang yang seterusnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), berbeza dengan sikap yang ditunjukkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kerap kali mengulangi keperluan untuk kesemua parti pembangkang bersatu.

Sementara itu, Hadi juga mengulas tentang peluang untuk partinya menang dalam pilihan raya akan datang meskipun kajian simulasi Pusat Inisiatif Dasar Invoke baru-baru ini mendapati PAS gagal untuk menang satu kerusi pun dalam PRU14.

"Kita ada kajian sendiri, lebih terperinci. Jentera kita lebih banyak, kita ada cawangan seluruh negara. Saya tidak tahu kajian itu ambil dari mana sumbernya. Sekarang ini kita ada 190 kawasan daripada 220 parlimen dan 7,000 cawangan. Mereka (buat) kajian atas meja sahaja, kita kajian sampai ke bawah," kata Hadi.

Lebih lanjut menurut Hadi, partinya masih belum bersedia untuk mengadakan kerjasama politik kerana sikap yang berbeza-beza yang ditonjolkan parti-parti politik tertentu.

"Perundingan dari segi kerjasama, penyelarasan kempen supaya tidak berlaku pertembungan itu boleh dibuat. Kerjasama bersifat untuk politik masih terlalu jauh dengan sikap-sikap sedemikian rupa, dalam keadaan DAP bersikap cauvanis dan Amanah lebih 'opportunist'," ujarnya.

Ruang untuk perundingan antara parti-parti pembangkang bersama PAS tetap terbuka, namun 'tertutup' untuk Amanah, tambahnya.

"Perundingan sepanjang masa, PAS boleh buat rundingan termasuk sesiapa sahaja, termasuk NGO. (Kecuali) Amanah sebab mereka meninggalkan kita, jadi tidak perlu untuk kita berunding," tegas Hadi. --Antarapos