Sikap agresif remaja undang padah
Ada yang pamer kejayaan cemerlang tetapi banyak bersifat negatif, melakukan perlakuan luar kawal dan berfikir kemudian. Remaja seperti ini sebenarnya mengalami konflik ‘personality disorder’.
Mutakhir kini banyak kisah remaja dimuatkan di dada akhbar. Ada yang pamer kejayaan cemerlang tetapi banyak bersifat negatif. Remaja boleh diklasifikasikan sebagai golongan yang sentiasa inginkan pembaharuan, perubahan kendiri, tingkah laku agresif, aktif, cabaran, potensi jauh, berbakat, minat dan iltizam tinggi serta obses terhadap sesuatu perkara.
Namun, sifat dan tindak tanduk remaja melakukan perlakuan luar kawal dan berfikir kemudian sukar diterima masyarakat masa kini. Remaja seperti ini sebenarnya mengalami konflik ‘personality disorder.’ Selain itu, remaja tidak dapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa akhirnya mengubah tingkah laku luar kawal untuk mencari perhatian ibu bapa dan pihak masyarakat.
Faktor kedua berkaitan keinginan membuat suatu perilaku luar kawalan untuk cari populariti menerusi laman sosial. Kebiasaannya selepas melakukan aksi terlarang mahupun menulis perkataan, pernyataan disusuli dengan gambar mengaibkan atau penuh keji dan seterusnya memuat naik dalam Youtube, Twitter atau Facebook untuk melihat respons masyarakat awam. Perilaku ini menjadi trend generasi muda sekarang tanpa menghiraukan sensitiviti kaum dan lebih membimbangkan mengguris perasaan individu mahupun tokoh dan pemimpin negara.
Berdasarkan perspektif yang positif, remaja dikategorikan indvidu yang memiliki fizikal dan tenaga yang kuat serta agresif apabila bertindak. Aktiviti seperti memanjat, mendaki, ataupun sebarang aktiviti lasak adalah aktiviti sinonim yang biasa dilakukan remaja. Kejayaan dua pendaki UTM pada 2016 adalah suatu kejayaan bukan sahaja kepada anak muda negara kerana berjaya menawan puncak Everest sekali gus mengharumkan nama negara dipersada dunia.
Namun sebaliknya, tindakan beberapa remaja memanjat papan tanda Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjalan di atas tiang papan tanda, bergayut dengan buai dan melakukan aksi, tidak pada tempatnya. Perbuatan ini bukan sahaja mengundang bahaya kepada diri remaja berkenaan bahkan sekiranya besi papan tanda itu runtuh boleh mengundang kemalangan dan malapetaka kepada kenderaan dan orang awam pula.
Perlakuan lasak memerlukan daya tahan fizikal dan kebebasan bukan tidak boleh dilakukan, namun biar kena pada masa dan tempatnya. Sesuatu perbuatan yang mencabar dan bahaya tetapi dilakukan dengan penuh terancang, berhati-hati dan mendapat restu pelbagai pihak pasti akan mendapat penghormatan dan kejayaan yang gemilang di mata masyarakat. Cuba lihat kejayaan beberapa tahun lalu seorang belia merentas Selat Inggeris dalam keadaan terlampau sejuk. Beliau tentunya Datuk Malik Mydin.
Undang bahaya, risiko
Kejayaan beliau membuktikan anak Asia boleh setanding dengan perenang antarabangsa dan ini sungguh memberi kebanggaan dan menunjukkan anak Malaysia turut mampu melakukannya. Namun sebaliknya, beberapa hari lepas kedengaran beberapa remaja berenang di Sungai Kelantan ketika musim banjir.
Perbuatan mereka bukan sahaja mengundang bahaya dan risiko kepada diri, bahkan turut dibimbangi ibu bapa dan keluarga sekiranya sesuatu yang di luar jangkaan berlaku. Apa pun tindakan mahupun perlakuan seperti mandi manda ataupun berenang ketika musim banjir bukan sahaja boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri seperti mati lemas bahkan banyak penyakit bawaan air boleh juga terjadi.
Remaja mutakhir kini juga mempunyai sifat obses terhadap sesuatu perkara, kurang berasa sensitif dan kadangkala bertindak secara spontan apabila sesuatu terlintas di fikiran. Tidak hairanlah sekiranya sesuatu itu yang boleh mendatangkan keseronokan atau perasaan ‘jelik’ terhadap seseorang individu.
Zaman ledakan teknologi yang penuh maklumat dijadikan rujukan utama remaja untuk memperoleh maklumat, mempercayai dan tanpa berfikir panjang, mereka terus bertindak sama ada dengan menulis, menghina atau mengaibkan mana-mana individu dan tokoh yang dibenci semata mata menurut perasaan emosi, berfikir spontan atau mendengar dari sebelah pihak tanpa sebarang usul periksa.
Inilah sikap dan budaya segelintir remaja mutakhir ini yang lebih mudah bertindak berbanding berfikiran rasional, malah menerima nasihat daripada orang yang lebih tua mungkin jauh sekali.
Justeru, remaja mutakhir kini yang hidup dalam zaman ledakan teknologi maklumat dan dunia yang penuh cabaran perlu bijak menggunakan masa dan ruang yang ada dengan penuh manfaat. Sebaiknya masa dan ruang yang ada digunakan untuk memikirkan nasib dan pembangunan diri pada zaman penuh cabaran ini.
Mereka juga perlu dibantu ibu bapa dengan memperuntuk sedikit masa untuk beri nasihat supaya ibu bapa dijadikan tempat sandaran kepada mereka untuk menemui sebarang masalah atau solusi ketika berlaku masalah.
Peranan Kementerian Belia dan Sukan juga perlu amat prihatin dengan generasi muda dan jika relevan dan masih signifikan dihidupkan semula Kelab Rakan Muda yang dapat melihat minat, bakat dan kecenderungan remaja menerusi aktiviti dilakukan. Kelab Rakan Mendaki misalnya boleh dianggotai oleh remaja yang sukakan aktiviti memanjat, mendaki dan ‘rock climbing’. Aktiviti ini juga boleh dilibatkan dengan aktiviti mendayung dan sampan sesuatu, yang memenuhi selera remaja.
Tubuh kelab
Kelab Rakan Masjid boleh diwujudkan bagi remaja yang mendambakan aktiviti bersifat spiritual yang bukan sahaja dapat beri tarbiyah kepada pembangunan jiwa dan rohani muda mudi masa kini, bahkan menerusi tunjuk ajar pendakwah bertauliah, dapat membendung remaja terlampau obses dengan agama daripada sebarang dakyah palsu dan sesat, ajaran syiah, ajaran munafik dan sebarang ajaran militan.
Generasi anak muda sama ada di bandar mahu pun luar bandar aktif, agresif dan amat memerlukan ‘ruang’ dan ‘tempat atau platform’ untuk menyuarakan pendapat, meluahkan sesuatu dan bertindak apabila timbul rasa kurang puas hati.
Kewajaran menyediakan program sepanjang masa bukan bermusim amat perlu memandangkan mereka suara didengari dan ditonton atau di ‘Like’ untuk tatapan umum.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia
(BHONLINE)
http://www.bharian.com.my/node/231300
Foto hiasan dari open web.
Post a Comment