Kerjasama dengan PPBM: PAS belum buat keputusan - Abdul Hadi
Kita sudah membuat satu garis panduan. Kita tidak akan kerjasama dengan DAP dengan PAN. Itu sempadan, kita buat sempadan, sekarang ini kita nilai dulu apa sikap Bersatu (PPBM) dengan DAP, dengan PAN dan apakah pula hal-hal yang lain yang berkait dengan PAS.
KUALA TERENGGANU: PAS belum membuat sebarang keputusan sama ada akan mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PPBM.
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, asas utama ke arah itu adalah dengan menilai sama ada terdapat sebarang bentuk kerjasama antara PPBM dan DAP serta Parti Amanah Negara (PAN).
Menurut Abdul Hadi, beliau akan menunggu laporan lengkap hasil pertemuan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Kita sudah membuat satu garis panduan. Kita tidak akan kerjasama dengan DAP dengan PAN. Itu sempadan, kita buat sempadan, sekarang ini kita nilai dulu apa sikap Bersatu (PPBM) dengan DAP, dengan PAN dan apakah pula hal-hal yang lain yang berkait dengan PAS. Kita belum dapat maklumat yang terperinci,” katanya ketika menghadiri Jamuan Sambutan Tahun Baharu Cina di Pejabat Penyelaras Parlimen PAS di sini lewat petang tadi.
Menurut Hadi, pihaknya akan mengutamakan politik matang yang sejahtera dan menolak budaya politik fitnah serta kecenderungan ke arah mencetuskan ketegangan .
PAS juga katanya terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik dalam membentuk blok ketiga namun keputusan muktamad akan mengambil kira pandangan keseluruhan barisan kepimpinan parti itu.
Dalam pada itu Abdul Hadi menyanggah kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, PAN, Salahuddin Ayub Din yang menyifatkan beliau sebagai bermimpi di siang hari dalam merealisasikan sasaran PAS pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.
Menurut Abdul Hadi, PAS adalah parti yang realistik dan sentiasa berpijak di bumi nyata.
“Kita berpijak di bumi nyata. PAS ada 190 kawasan di seluruh negara. Parti lain DAP, PAN.. tidak ada kawasan, tidak ada cawangan. Dia bergerak di atas angin, kita berpijak di bumi nyata,” kata Hadi lagi.
Menurut Abdul Hadi, pihaknya mempunyai jentera yang sedia untuk digerakkan pada bila bila masa selain penyokong yang setia terhadap perjuangan parti itu sejak sekian lama.
PAS juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berjuang bersendirian pada PRU ke 14 nanti.
Sementara itu, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan parti itu tidak berhasrat untuk menyertai Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Menurut Abdul Hadi, walaupun PAS dianggap mesra BN berdasarkan perkembangan politik mutakhir, namun parti itu tetap tegas dalam menyatakan pendirian dan arah tuju perjuangannya.
“Kita tidak menyertai BN. Kita boleh bekerjasama dalam isu-isu bersama, kepentingan rakyat, itu sama tetapi pilihan raya kita berasingan,” kata Abdul Hadi lagi.
(Astro Awani)
Post a Comment