Penemuan 'fakta baharu' dorong Malaysia mohon semakan semula keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh
SINGAPURA: "Fakta baharu", yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabansga (ICJ) berhubung Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) adalah merujuk kepada tiga dokumen yang ditemukan di National Archives of the United Kingdom.
Dalam siaran media melalui laman sesawangnya pada Jumaat, ICJ berkata dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.
Dokumen berkenaan ditemukan di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Jan 2017, katanya.
Menurut ICJ, Malaysia mendakwa dokumen berkenaan membentangkan fakta baharu bahawa para pegawai peringkat tertinggi dalam pentadbiran tanah jajahan Britain dan Singapura memperakukan bahawa Pedra Branca/Pulau Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.
"Malaysia menegaskan bahawa mahkamah itu pasti mencapai kesimpulan berbeza mengenai persoalan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Puteh sekiranya ia dimaklumkan tentang wujudnya bukti baharu ini," katanya.
ICJ berkata, merujuk kepada syarat lain berhubung Perkara 61, Malaysia juga menegaskan bahawa fakta itu tidak diketahui Malaysia atau mahkamah itu ketika penghakiman mengenai kes berkenaan diumumkan kerana ia hanya ditemukan ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan setelah arkib itu mendedahkan kepada umum bahan itu selepas penghakiman diumumkan pada 2008.
"Malaysia juga berhujah bahawa kegagalannya menyedari kewujudan fakta baharu itu bukanlah disebabkan kecuaian, tetapi kerana dokumen berkenaan merupakan dokumen sulit yang tidak boleh dicapai pihak awam, sehinggalah ia dikeluarkan UK National Archives," katanya.
ICJ berkata Malaysia menegaskan bahawa permohonannya itu adalah sejajar dengan peruntukan Statut berkaitan pengaturan masa permohonan yang telah ditetapkan.
"Ia menunjukkan bahawa permohonan itu dibuat dalam tempoh enam bulan selepas penemuan fakta baharu memandangkan semua dokumen yang mengukuhkan fakta baharu itu hanya diperoleh pada atau selepas 4 Ogos 2016," kata ICJ.
Menurut ICJ, Malaysia memohon mahkamah itu membuat penghakiman dan
mengisytiharkan bahawa permohonannya untuk menyemak semula penghakiman pada 2008 diterima dan memohon mahkamah itu "menetapkan tempoh masa untuk membuat pertimbangan tentang merit permohonan berkenaan.
Di Kuala Lumpur, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika dihubungi hari ini berkata pasukannya terdiri daripada para peguam dan pegawai Jabatan Peguam Negara dan beberapa profesor dan Queen Counsel terkenal yang dipilih dari United Kingdom selain beliau sendiri memandangkan penghujahan secara lisan akan dilakukannya pada perbicaraan di ICJ di The Hague.
"Pada masa ini, kita sedang menunggu tarikh pengurusan kes dari ICJ, di mana pada akhirnya, tarikh perbicaraan akan ditetapkan," katanya.
Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.
ICJ juga menetapkan Terumbu Karang Selatan adalah milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.
Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor. --Astro Awani
Post a Comment