Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Petaka Bila Hanya Guna Maqasid Dalam Dalam Memahami Islamic Laws

 Setiap sesuatu itu ada displin yang perlu dipelajari secara teliti. Melanggar displin ilmu berkenaan dikhuaitiri akan membawa punah lebih banyak dari kebaikannya. Memahami Undang-undang Islam mestilah ada kerangka ilmu tauhid, barulah dapat memahami hikmah di sebalik hukum tuhan. 

PETAKA BILA HANYA GUNA MAQASID DALAM DALAM MEMAHAMI ISLAMIC LAWS

ISLAMIC LAWS (Mementingkan Teks, kemudian Maqasid)
CONVENTIONAL LAWS (Mementingkan Masalah dan Maqasid)

Dalam mengistinbatkan undang-undang (hukum) Islam, memahami teks nas Quran dan Hadis amat penting. Teks nas perlu difahami dengan baik dan ia sangat penting, kemudian barulah dilihat dalam konteks matlamat dan tujuannya. Ia berbeza dengan undang-undang biasa, kerana matlamat dan tujuan itu pula sangat penting. Perbezaan dalam menanggapi dua bentuk undang-undang ini boleh menyebabkan pertembungan dalam kalangan pendokong kedua-dua dsiplin ini kalau tidak dicermati dengan baik. 

Undang-undang Islam menggunakan metode induktif kerana ia cuba memahami nas dan meneliti maksud yang terkandung di dalamnya. Dari situ, barulah dikeluarkan hukum sama ada wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Islam mementingkan nas Quran dan hadis kerana keyakinan orang Islam bahawa nas adalah merangkumi seluruh aspek kehidupan. Matlmat dan hikmah dari perundangan itu, kadang kala belum dapat dicapai kerana belum dibuat. Kalau dah makan pun belum, bagaimana boleh berasa kenyang. 

Manakala dalam undang-undang konvensional, penggubalan dilihat kepada masalah dan tujuan. Sebagai contoh, oleh kerana banyak kemalangan berlaku, maka undang-undang digubal bagi menghadkan kelajuan kenderaan. Begitu juga, sekiranya kejadian mencuri berleluasa, undang-undang yang sedia ada tidak dapat mengawal, maka diketatkan lagi undang-undang kecurian itu. Dengan ini, penggubalan undang-undang konvensional akan melihat kepada permasalahan yang berlaku dalam masyarakat yang memerlukan kepada panduan dan kawalan. 

Oleh itu, orang yang berada dalam pengajian undang-undang Islam memerlukan kepada akidah yang kuat tentang kelebihan nas al-Quran dan Hadis kerana Allah paling berautoriti dalam menentukan kehidupan manusia. Segala tuntutan nas perlu dilaksanakan semampu mungkin biarpun nampak pada zahirnya ia nampak bertentangan dengan akal manusia. Jika berlaku juga masalah pertembungan dengan akal manusia, mungkin di sana hanyalah salah faham sahaja. 

Antara contoh salah faham itu ialah pelaksanaan hukum hudud membawa kepada kezaliman kepada masyarakat berbilang kaum. Begitu juga terdapat salah faham tentang hudud bila bercakap “pemikiran lapuk melihat keindahan Islam dengan memotong tangan ….”. Mungkin mereka sengaja tidak mahu faham pelaksanaan hukum hudud itu sendiri kerana pelaksanaan hudud kepada kesalahan yang bersifat prima facie dan orang yang melaksanakan jenayah itu memang sangat jahat. Manakan tidak, dengan syarat yang begitu ketat pun, masih boleh dijatuhkan hukum hudud juga. 

Untuk mempelajari undang-undang Islam, kefahaman kepada teks nas amatlah penting untuk mengistinbatkan hukum. Mempelajari matlamat undang-undang adalah pelengkap selepas mempelajari semua dsiplin yang berkaitan dengan nas. Janganlah pula menjadi songsang, iaitu belajar tujuan nas tetapi tidak belajar nas. Ia akan membawa kepada liberalisme. 

Sebagai contoh, untuk membuat hukum percukaian di dalam Islam, kita perlu mendalami semua nas yang berkaitan dengan percukaian. Kemudian barulah kita memahami tujuan disebalik nas itu. Dengan itu, maqasid itu dinamakan maqasid syarak. Sebaliknya, sekiranya tidak tahu nas, tiba-tiba memandai menggubalkan hukum cukai dan mendakwa ia adalah hukum cukai yang Islamik yang berdasarkan kepada prinsip umum iaitu tidak menindas dll, ini merupakan metode yang salah. Maqasid yang dikeluarkan itu, ialah maqasid akal iaitu diambil dari akalnya, bukan dari syara’. 

Menggunakan tujuan dan matlamat (maqasid) untuk mempelajari undang-undang Islam adalah pendekatan yang dilakukan oleh barat untuk mengkaji Islam. Ketika menjadi pembantu penyelidik di UKM 13 tahun dahulu, saya seringkali melihat kumpulan Sister in Islam selalu memegang buku Maqasid Imam Syatibi dalam bahasa Inggeris. Rupanya mereka ingin belajar Islam menerusi metode yang salah sehingga akhirnya semua perkara ingin sesuai dengan lojik akal manusia biarpun bertentangan dengan nak yang jelas. 

Kepada yang mendalami bidang undang-undang dan yang berada dalam Fakulti Undang-undang harus melihat dan mencermati perbezaan pendekatan ini kerana Islamic laws ada kelainan dalam pendekatannya. 

Ringkasnya, setiap sesuatu itu ada displin yang perlu dipelajari secara teliti. Melanggar dsiplin ilmu berkenaan dikhuaitiri akan membawa punah lebih banyak dari kebaikannya. Memahami Undang-undang Islam mestilah ada kerangka ilmu tauhid, barulah dapat memahami hikmah di sebalik hukum tuhan. 

Dr. Muhamad Faisal

http://myfaisalonline.blogspot.my/2017/02/islamic-laws-vs-conventional-laws.html?m=1