Analisis Kes Siti Nor Aishah Tahanan SOSMA
Atas permintaan teman-teman dan sesiapa sahaja yang bertanya melalui whatsapp dan FB.
1- Setelah membaca laporan kes : Pendakwaraya v Siti Noor Aishah [2017] 7 MLJ 461, berikut adalah analisis saya:
2- Dakwaan ke atas Aishah adalah berasaskan kepada buku-buku yang ditemui dan dikatakan milik Aishah, di mana buku-buku tersebut dikaitkan dengan fahaman keganasan dan kumpulan pengganas iaitu JI, Al-Qaeda dan IS.
Selain dari buku-buku, tidak ada perbuatan Aishah ataupun barang-barang lain milik Aishah yang boleh 'associated' atau dikaitkan bersama dalam mendakwa Aishah terlibat dengan kumpulan pengganas.
3- 10 saksi dikemukakan pihak pendakwaan antaranya :
- Ibu Aishah sendiri
- Pakar yang dikatakan ada pengalaman luas mengenai keganasan dari Nanyang University of Singapore
- Saksi yang memberi pendapat usuluddin dari Akademi Pengajian Islam UM
- Ustaz Zamihan dari KDN
- Pegawai-pegawai Polis
4- Aishah dibebaskan atas kelemahan kes di pihak pendakwaan sepertimana teguran yang diulang beberapa kali oleh Yang Arif Hakim terhadap kegagalan pihak pendakwaan melakukan perkara-perkara yang penting, antaranya:
- Database buku-buku di Nanyang University of Singapore gagal ditunjukkan kepada mahkamah.
Database ini jadi rujukan saksi (seorang pakar keganasan) dalam mengenalpasti buku-buku Aishah ada kaitan dengan keganasan.
- Buku-buku tersebut dalam bahasa melayu, diterjemah ke bahasa inggeris untuk tujuan kajian oleh saksi. Tapi identiti penterjemah gagal didedahkan. Oleh itu, terjadi pertikaian sama ada penterjemah adalah orang yang ada kelayakan untuk menterjemah.
- Pembuktian bahawa tempat Aishah ditahan adalah sama seperti dalam kertas pertuduhan tidak dilakukan, seperti geran/bil air/ bil elektrik untuk buktikan perkara ini tidak ditunjukkan pada mahkamah.
5- Mahkamah turut bebaskan Aishah atas alasan buku-buku tersebut tidak diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, walaupun Mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi (Ustaz Zamihan dari KDN) bahawa buku-buku Aishah tersebut memang boleh dikaitkan dengan keganasan.
Saksi menandakan muka surat yang boleh dikaitkan dengan kumpulan pengganas.
Sebelum itu, keterangan saksi dari Akademi Pengajian Islam UM (beri pendapat usuluddin) serta seorang lagi saksi (pakar keganasan )dari Nanyang University Singapore tidak memuaskan hati Mahkamah, oleh itu keterangan saksi tidak diterima.
Mahkamah menegaskan adalah tidak konsisten untuk jadikan Aishah bersalah dalam keadaan KDN tidak menjalankan fungsinya mengharamkan buku-buku tersebut.
Di luar sana orang ramai masih boleh memiliki buku-buku tersebut kerana tidak diharamkan.
6- Rumah Aishah cuma ada 1 bilik sahaja, tidak berpintu, cuma ada langsir.
Bilik itu terbuka kepada orang lain (orang lain juga dapat akses) seperti adik-adik Aishah. Buku-buku dan laptop adik Aishah pun ada di situ. Selain itu, bilik itu turut digunakan tetamu untuk solat.
Aishah tidak bersikap mahu menyorokkan buku-buku/barang-barangnya atau cuba melarikan diri semasa ditahan.
Saksi-saksi seperti adik-adik Aishah tidak dipanggil untuk sahkan atau nafikan buku-buku itu milik mereka atau Aishah.
Buku-buku tersebut juga tidak ditulis nama pemiliknya.
7- Di atas adalah antara alasan-alasan Aishah dibebaskan oleh mahkamah.
PERSOALAN :
8- Timbul persoalan di sini:
I- JIKA sekiranya kelemahan-kelemahan pihak pendakwaan seperti di atas tidak berlaku, adakah Aishah boleh disabitkan bersalah atas alasan memilki buku-buku tersebut? Kerana mahkamah sekurang-kurangnya berpuas hati dengan keterangan saksi Ustaz Zamihan dari KDN bahawa buku-buku itu memang boleh dikaitkan dengan kumpulan pengganas.
II - Jika sekiranya kegagalan pihak pendakwaan melakukan perkara penting seperti yang ditegur oleh mahkamah TIDAK BERLAKU, adakah mahkamah akan bebaskan Aishah semata-mata atas alasan buku-buku itu tidak diharamkan KDN?
III- JIKA KDN haramkan buku-buku tertentu, namun ada rakyat yang membacanya, tetapi tidak melakukan apa-apa perbuatan keganasan, tiada sebarang dokumen atau barang-barang berkaitan keganasan, adakah 'merely'/ semata-mata atas alasan membaca buku yang diharamkan oleh KDN, dia boleh didakwa di bawah SOSMA? Dan didapati bersalah di bawah SOSMA?
9- Pandangan peribadi saya:
I- Adalah berbahaya (risiko: buka ruang pada kezaliman) untuk mendakwa apatah lagi mensabitkan seseorang itu bersalah hanya atas alasan buku, dalam keadaan TIADA perbuatan lain yang dia lakukan, atau terdapat dokumen/ barang lain yang dimiliki yang menunjukkan dia terbabit dengan kesalahan yang didakwa.
Contoh :
- dia ada lakukan perbuatan salah yang disebut di dalam buku.
- ada senjata.
- ada dokumen-dokumen seperti minit mensyuarat, dokumen yang mengandungi maklumat tertentu, dll.
Kalau ada perkara-perkara ini, maka tuduhan bolehlah dikatakan ada asas.
Kalau semata-mata kerana buku seseorang itu perlu menanggung 'azab SOSMA' - pertimbangkan bahawa di bawah SOSMA seseorang tidak dibenarkan ikat jamin sama seperti kes bunuh (s.302 Kanun Keseksaan), perlu duduk dalam penjara sepanjang perbicaraan sehingga keputusan mahkamah, dan jika ada rayuan perlu terus lagi berada dalam penjara sehingga keputusan rayuan pula diputuskan.
II- Pendirian saya dan ramai lagi rakyat Malaysia adalah SOSMA merupakan undang-undang yang zalim kerana peruntukan undang-undang di dalamnya yang banyak melanggar hak-hak penting seorang manusia.
Tetapi pendirian ini tidak bermaksud kita tidak menyokong usaha kerajaan membasmi kegiatan keganasan atau pengganas. Membasmi keganasan adalah mesti, tetapi pendirian kita adalah mesti dengan cara yang betul, adil dan menghormati hak-hak kemanusiaan.
Jangan sampai seseorang itu dihukum dengan prosedur undang-undang lebih awal sebelum mahkamah mendapatinya bersalah.
III- Jika seseorang itu bersalah sama ada atas kesalahan keganasan atau jenayah yang lain, maka dia mesti dihukum tanpa mengira status dia kaya atau miskin, agama apa atau bangsa apa.
Sentimen/ emosi kerana tertuduh datang dari keluarga yang susah, tidak boleh jadi penyebab kita mahu seseorang dibebaskan dari tuduhan/tahanan.
Namun kita berhak menuntut bahawa tertuduh diberi hak untuk proses undang-undang yang adil, serta keluarganya diberi hak seperti diperuntukan undang-undang.
Kita tidak mahu ada 'abuse of power'/ salahguna kuasa atas nama penguatkuasaan undang-undang.
IV - Kerajaan perlu memberikan justifikasi yang munasabah dalam menghalang sesuatu buku itu dibaca apatah lagi mengharamkannya.
Supaya rakyat faham kenapa buku-buku itu tidak dibenarkan tersebar dalam kalangan masyarakat.
Jika sekadar menghalang dan mengharam tanpa justifikasi, perlu diingat bahawa jika kita serious mahu menjadi negara yang maju, rakyat perlu dilayan secara orang cerdik, bukan seperti pak turut.
10- Kesimpulan.
Dalam kes ini, Aishah tidak memenuhi definisi pengganas di bawah undang-undang (Kanun Keseksaan dan AMLA).
Dia dibebaskan di peringkat Mahkamah Tinggi, namun belum tahu nasibnya di peringkat Mahkamah Rayuan.
Dia dibebaskan dan ditahan semula pada hari yang sama. Sepanjang tempoh ini dia di dalam penjara.
Saya harap, tidak akan terlalu mudah seseorang itu dianggap pengganas, kecuali dia benar-benar melakukan sesuatu yang bahaya untuk masyarakat dan negara.
Jangan sampai sistem kita pula yang membentuk seseorang itu menjadi pengganas apabila dia keluar penjara, sedangkan sebelumnya dia bukan pengganas, hanya anak muda yang perlu terus dibimbing dan dididik.
Solidariti saya buat Aishah dan keluarga.
Sokongan saya kepada usaha kerajaan membasmi pengganas sebenar.
Allahu A'lam.
Analisis peribadi,
Mardhiyyah Johari
Peguambela & Peguamcara
Peguam Syarie
Post a Comment