Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

PAS paling berintegriti dalam blok pembangkang

Pemimpin PAS adalah model berintegriti tinggi dan bertanggungjawab terhadap rakyat. PAS juga tidak pernah membuat 'drama' untuk meraih simpati pengundi sebagai bekal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.


ALOR SETAR: PAS adalah model integriti dalam blok pembangkang, berbanding DAP dan PKR yang sering terpalit dengan pelbagai skandal rasuah serta penyelewangan kuasa. 

Perwakilan Dewan Pemuda PAS, Hishamuddin Abdul Karim, berkata parti itu sering menjadi 'lubuk' untuk dilemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas demi mencalar imej dan kredibiliti dalam kalangan masyarakat. 

Bagaimanapun, katanya, takdir Allah menentukan setiap tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS adalah palsu, selain membongkar salah guna kuasa dan skandal rasuah 'parti sekutu'. 

"Ketika PAS terpalit dengan tuduhan menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ketua Angkatan Muda Keadilan (Datuk Adam Rosly) pula ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

"Ketika PAS dituduh pemakan dedak dan rasuah, Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) pula terpalit dengan skandal salah guna kuasa yang dikaitkan kes pembelian banglo mewah bawah harga pasaran. 

"Ini membuktikan pemimpin PAS adalah model berintegriti tinggi dan bertanggungjawab terhadap rakyat, berbanding parti lain dalam blok pembangkang," katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar PAS Ke-63, di sini sebentar tadi. 

Hishamudin berkata, PAS juga tidak pernah membuat 'drama' untuk meraih simpati pengundi sebagai bekal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Katanya, PAS tidak pernah gentar untuk berseorangan dalam blok ketiga menjelang PRU-14 seperti dimomokkan segelintir pihak. 

"Kami tidak pernah takut kerana sudah beberapa kali darah pejuang PAS mengalir di bumi ini, termasuk dalam peristiwa Memali dan Lubuk Merbau. 

"Jangan jadi ibarat segelintir pihak yang apabila ditangkap ketika keadaan tidak bergari, tetapi berlakon seperti digari," katanya.---BHOnline