Tok Lebai Legislator
Tugasan MP adalah sebagai penggubal undang-undang begitu juga MP PAS. Kami bukan setakat Tok lebai tapi Tok lebai yang legislator. Maka menjadi kewajipan bercakap dan menggubal undang-undang dan hukuman bukan sekadar mendidik dan memberi nasihat. - Hj Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Bachok
Saya ditanya MP bukan Islam, kenapa MP PAS bersungguh sangat nak laksanakan hukum islam. Mengapa tidak utamakan dulu soal mendidik kerana islam mengutamakan pendidikan berbanding hukuman sebagaimana ucapan tokoh-tokoh dunia islam katanya.
Saya jawab ya Islam utamakan pendidikan namun untuk menjaga manusia Allah sebagai pencipta manusia telah mempersiapkan acuan hukuman sebagai sebahagian bentuk pendidikan. Tokoh Islam yang YB pergi tanya tu bukan seorang legislator, maka jawapannya betul tetapi di luar konteks.
Tugasan MP adalah sebagai penggubal undang-undang begitu juga MP PAS. Kami bukan setakat Tok lebai tapi Tok lebai yang legislator. Maka menjadi kewajipan bercakap dan menggubal undang-undang dan hukuman bukan sekadar mendidik dan memberi nasihat.
Saya katakan sebagai seorang MP tidak sepatutnya YB bercakap sedemikian kerana setiap kali sidang kita luluskan rang undang yang dalamnya ada hukuman yang berat kepada pesalah. Contohnya RUU Jenayah Seksual Kanak-kanak yang dibentang minggu lepas, hukumannya sangat berat. Kenapa yang ini tak dikatakan perlu utamakan pendidikan berbanding hukuman. Maka dia pun diam.
Kepada agamawan janganlah kelirukan pemahaman terhadap Islam. Penjelasan tentang Islam mestilah dalam ruang teks dan juga konteks. Semoga Allah memberi hidayah buat kita dan mereka.
Ust Hj Ahmad Marzuk Shaary
Ahli Parlimen Bachok
4 Rejab 1438/ 1 April 2017
Post a Comment