Kelantan bakal anjur Ijtimak Perpaduan Ummah
KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan bakal menganjurkan Ijtimak Perpaduan Ummah Rantau Asia selama tiga hari bermula 21 Julai ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua pertubuhan dakwah Islam dari seluruh Asia termasuk Indonesia, Jepun, Korea malah pimpinan Hamas turut dijemput menghadiri perhimpunan tersebut.
"Surat jemputan menghadiri ijtimak juga akan dihantar kepada Setiausaha Agung Umno (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) bagi sama-sama membincangkan pelbagai isu berkaitan Islam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata sempena ijtimak tersebut, akan turut diadakan seminar dakwah rantau Asia bagi mewujudkan koordinasi seluruh gerakan dakwah serta berkongsi pengalaman, seminar ulama rantau Asia dan mesyuarat jawatankuasa koordinasi.
Ini adalah ijtimak kali ketiga diadakan selepas dua kali diadakan di Terengganu sebelum ini.
"Objektif diadakan Ijtimak ini adalah bagi menonjolkan nilai-nilai universal dan menafikan apa jua tohmahan sehingga mewujudkan Islamofobia.
"Kita juga mahu tonjolkan apa sebenarnya gerakan Islam dan mahu buktikan kita bukannya ekstremis seperti yang dicanang oleh pihak tertentu dengan tujuan menakut-nakutkan," katanya. - Bernama
Post a Comment