Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Kuatnya Pakatan Harapan Kerana Huruf ‘T’



Oleh: Salam Muhammad @ BayangDiAir

Kuat ayam kerana ‘T’ ,taji. Kuat Hang Tuah kerana‘T’, tuah. Kuat Pakatan Harapan (PH) kerana ‘T’, temberang. Bermula dengan asbab tertubuhnya PH adalah temberang. Temberang konon PAS telah ditolak oleh rakyat. Peliknya, bila dah tertubuh baru nampak PAS perlu dirujuk, PAS perlu dipujuk. Temberang pertama tak menjadi.

Temberang kedua pun datang. Kalau tidak bersama PH, PAS dikatakan menjadi tongkat UMNO. Tidak pula diberi contoh tongkat itu. Tongkat Alikah? Tongkat semambukah?  Sekadar membawa wawasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, PAS secara semberono dituduh memberi tongkat kepada UMNO. Langsung tidak konkrit. Sekadar membina persepsi buruk. Sekadar sakit hati pakaian sedondon.

Temberang ketiga, PAS diramalkan akan kalah besar dalam PRU14. Lim Kit Siang kata PAS akan jatuh di Kelantan. PAS tak akan menang walau satu kerusi DUN pun di Selangor dan Perak. Temberang yang sahaja dicipta oleh Pak Belalang untuk menakutkan PAS. Motifnya adalah supaya PAS ‘U-turn’ kembali ke dakapan PH.

Temberang berterusan. Pemimpin PAS difitnah terima duit RM90 juta duit 1MDB. Bermula dengan penyaluran maklumat temberang kepada Sarawak Report oleh ‘hantu raya’. Disusuli oleh dakwaan Husam kuasa 10 yang dijaja dari kedai kopi ke ceramah perdana. Diakhiri oleh Rapiji melalui SD. Apabila PAS mula mengambil tindakan saman, habis senyap macam tikus sembunyi dalam beras basmathi.

Temberang Kit Siang dalam terang tak perlu bersuluh. Kit Siang ugut nak saman Tuan Guru Haji Hadi        ( TGHH) kerana dakwa DAP anti-Islam. Sudah sebulan lebih. Tak saman-saman. Maka benarlah dakwaan TGHH. Cuma PAN tak sedar diri. Duk pertahan musuh agama sendiri. TGHH, ulama rujukan dunia diperli. Lim Kit Siang pula diangkat semacam wali.

Temberang DAP bertingkat-tingkat. DAP temberang dengan CAT-nya. Baru-baru dapat kuasa pada 2008, prinsipnya CAT ( Cekap, Telus, Amanah). Jaja sana jaja sini akulah ‘khalifah Umar Abdul Aziz’. Bila dah dua penggal memerintah Pulau Pinang, projek mega pula yang diutamakan, rakyat marhaen majority Melayu/Islam dilupakan. Terpalit pula dua isu penyelewengan, banglo terlajak murah dan penjualan tanah Taman Manggis. Retorik kepalsuan berkecai habis.

Temberang DS Anwar, PKR tidak melanggar apa-apa prinsip tahaluf siyasi. PKR juga menyokong RUU355. Katanya, Majlis Syura Ulama PAS membuat pertimbangan yang salah. Habis kenapa tak kemukakan hujah secara tuntas?  Jawablah secara jelas 3 sebab putus yang dikatakan PAS.

Temberang bersiri-siri. Kata mereka,  Azmin Ali telah memecat ketiga-tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor. Tut-tut, apabila Azmin menghadap Sultan Selangor, diputuskan bahawa exco PAS kekal demi kepentingan rakyat. Temberang yang membuatkan Mat Sabu dan pemuka PAN kempunan dan meroyan.

Bapak temberang, Mahathir,  pun datang bersama keris telanjang. Tergesa-gesa PPBM ditubuhkan . Katanya mahu jatuhkan Najib yang degil. Najib yang guna duit 1MDB. Najib yang merudumkan ekonomi negara. Akhirnya, terbongkar. Mahathir nak angkat anaknya Mukriz jadi PM. Bagai burung terbang dipipiskan lada. Kaum kerabat PH berlumba-lumba mendraf kabinet bayangan mereka. 

Sampai bilakah berakhirnya temberang bersiri ini? Mampukah PH bertahan sebelum PRU14? Nampak gayanya temberang dalam memilih calon PM amat sengit sekali. Akan tiba klimaks berebut kerusi. Sekarang ini pun PKR bertegas agar jangan sesiapa ganggu 30 kerusi Parlimennya.Ingatkan PAS yang jadi mangsa temberang. Rupa-rupanya temberang sama-sama kerabat PH sendiri.  

Berbalik kepada tajuk di atas tentang kuat tadi. Sudah terbukti, kuatnya PH kerana ‘T’, temberang. Sedangkan kuatnya PAS kerana ‘I’, Islam. Manakala kuatnya UMNO/BN kerana S.P.R. Fikir-fikirkan.