Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Bolehkah puasa enam diniatkan bersama dengan puasa qadha?




HUKUM QADHA’ PUASA RAMADHAN BERSEKALI DENGAN PUASA 6 SYAWAL

Oleh: Dr. Zulkifli al-Bakri

Mukaddimah

Alhamdulillah, kita baru selesai melaksanakan ibadat puasa Ramadhan dengan jayanya. Semoga Allah kurniakan kepada kita penerimaan segala ibadat yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan sama ada yang wajib mahupun yang sunat. Dengan menjelmanya Syawal, disamping kita berhari-raya dengan penuh kesyukuran, kita juga digalakkan untuk melaksanakan puasa enam Syawal. Ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan. Banyak persoalan yang ditimbulkan berkenaan dengan Hukum Qadha’ Puasa Ramadhan Bersekali Dengan Puasa 6 Syawal. Justeru, pada kali ini akan menjawab persoalan berkaitan dengan isu ini. Semoga kita semua menjadi hamba-hamba Allah yang bertakwa dan cintakan amalan soleh.


Kelebihan Puasa Enam

Terdapat hadis yang menunjukkan kelebihan puasa enam. Antaranya:


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتَّا مِنْ شَوَّالٍ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ

Maksudnya: “Sesiapa yang puasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Turmuzi, Al-Nasaie, Ibn Majah, Ahmad dan lain-lain. Imam al-Turmuzi berkata hadis hassan.

Ini menunjukkan bahawa maksud puasa Ramadhan seolah-olah setiap hari mewakili gandaan 10 hari. Justeru, ditambah dengan enam hari Syawal, maka jadilah ia 360 hari. Itulah tafsiran sebahagian ulama.


Hukum Puasa Qada’ Ramadhan Beserta Dengan Puasa Sunat Syawal

Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:.


PERTAMA: SAH

Hukumnya sah dan terjadi kepada kedua-duanya, iaitu qada’ dan sunat.


Inilah pendapat: Imam Ibn Hajar al-Haitami

Syeikh Muhammad Ramli. Lihat al-Nihayah (1/162)

dan juga Fatawa al-Ramli (2/339)

Imam al-Barizi.

Lihat al-Ashfah wa al-Nazhair (1/161)

Syeikhul Islam Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Haasyiah al-Syarqawi ala al-Tahrir (1/427)

Inilah juga pendapat kebanyakan ulama mutakhirin


KEDUA: TIDAK SAH


Tidak sah tetapi terhasil yang fardhu sahaja iaitu puasa qada’ Ramadhan tidak kepada puasa sunat Syawal.

Inilah pendapat:

Imam al-Asnawi

Syeikh Ibn al-Solah

Abu Makhramah

Lihat Bughiah al-Mustarsyidin (3/95-96)

Hujah mereka tidak boleh tasyrik atau sekutukan dua jenis ibadah dalam satu ibadah.


Tarjih

Setelah meneliti dua hujah, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini kerana ia merupakan jenis ibadah yang sama tetapi dengan dua niat. Ini juga pendapat sebahagian ulama berdasarkan pengamatan kepada beberapa nas. Walaupun begitu, yang terbaiknya adalah memisahkan antara qada’ puasa Ramadhan dengan puasa enam Syawal untuk keluar daripada khilaf.

Imam Ibn Hajar menggunakan bahasa dengan katanya terhasil asal pahala tetapi bukan dalam bentuk sempurnanya jika ia berniat untuk kedua-duanya 

(niat qada Ramadhan dan sunat Syawal). Lihat al-Tuhfah (3/390).


Semoga dengan penjelasan ini, akan memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan isu puasa qada’ Ramadhan dan puasa enam Syawal.


Sekian.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/684-irsyad-fatwa-ke-43-hukum-qadha-puasa-ramadan-bersekali-dengan-puasa-6-syawal