Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Isa Samad talian hayat Najib?


Erat sekali hubungan Dato' Seri Najib dan Tan Sri Isa Samad. Dalam keadaan Felda berhadapan dengan pelbagai konflik yang memangsakan peneroka sebagai mangsa utama, PM terus mempertahankan Isa Samad dengan pelbagai hujah dan fakta. Fakta-fakta yang dikemukakan kelihatan mengkagumkan di atas kertas, tapi realiti sebenarnya jauh berbeza.

Terus mempertahankan Isa Samad bermakna PM berpuas hati dengan apa yang melanda Felda dan merelakan Felda terus bergolak. Mesej yang jelas bahawa PM akan terus mempertahankan kredibilitinya ketika melantik Isa Samad sebagai Pengerusi Felda pada tahun 2011 walau berhadapan dengan pelbagai kecaman dari luar. 

Akhirnya PM terpaksa mengalah juga. Isa perlu berundur dari Felda. Keluar dari FGV, kini Isa masuk SPAD pula. Mustahil dengan mudah Isa dikeluarkan dari FGV kalau bukan kerana kegagalan beliau walau didakwa Isa berundur dari FGV secara sukarela. Saya tak percaya proses pengunduran berlaku secara sukarela. Ia hanya kenyataan untuk memelihara air muka.

Apa perlunya diberi jawatan sebagai Pemangku Pengerusi SPAD yang menurut Najib jawatan untuk menghargai pengunduran sukarela Isa dari FGV? Kenapa tak dibersarakan terus?

Memang setiap insan yang pernah disabitkan bersalah berhak diberikan peluang kedua dalam hidup. Tetapi peluang yang diberi perlu berpada-pada. Isa bukan setakat diberikan peluang kedua, malah ketiga dan keempat dan entah berapa peluang lagi.

Imbas kembali, tahun 2005, Isa Samad adalah seorang individu yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah semasa pemilihan parti 2004 lalu digantung keahlian selama 6 tahun oleh Lembaga Disiplin Umno sehingga akhirnya dipendekkan kepada 3 tahun selepas mengemukakan rayuan.

Kesalahan ini menyebabkan beliau kehilangan jawatan Naib Presiden Umno dan kedudukan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dalam kabinet. 

Walau beliau mendakwa dirinya tak pernah melakukan kesalahan jenayah serta tak pernah didakwa di mahkamah, hakikatnya rasuah adalah jenayah samada didakwa di mahkamah atau tidak. Jenayah yang besar sehingga dirinya kehilangan jawatan besar Naib Presiden Umno dan Menteri Kabinet.

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang 2009 adalah proses 'mensucikan' semula Isa Samad apabila beliau dipilih sebagai calon BN dan menang.

Tak sampai 2 tahun kemudiannya, berkuatkuasa pada 1 Januari 2011, Isa Samad dikira telah cukup bersih apabila mengambil alih jawatan Pengerusi Felda dari Tan Sri Yusof Noor.

Bukan hanya warga Felda yang terkejut, malah ramai rakyat yang tak pernah pegang sabit pengait sawit pun terkejut. Felda dengan aset berbilion ringgit diperjudikan untuk dipengerusikan oleh seorang perasuah. Samada dia dah bertaubat atau tidak, itu urusan dia dengan Allah. Selagi hayat masih berbaki, dia berhak diberikan peluang. Tapi bukan peluang yang merisikokan ratusan ribu peneroka dan keluarga peneroka. Merisikokan ratusan ribu hektar tanah Felda. Merisikokan jumlah aset yang begitu besar.

Ternyata telahan kita tak lari jauh. Pelbagai isu yang tak enak mula kedengaran dari Menara  Felda. Pelbagai isu berbangkit peneroka tak diselesaikan. Peneroka adalah kelompok yang paling terkesan dengan kepimpinan Isa Samad. Felda dah jadi satu badan konglomerat yang kelihatan begitu gah dengan imejnya tapi asetnya menyusut dengan lajunya. Berbilion ringgit pelaburan hilang begitu sahaja. 

Kegagalan Isa sebagai Pengerusi Felda terbukti bila beliau turun pangkat sebagai Pengerusi FGV walau warga Felda berharap tiada lagi namanya di Felda. 

Kini setelah beliau mencetuskan pelbagai drama di FGV, dengan terhormatnya beliau dipersilakan ke SPAD.

Apakah negara kita begitu ketandusan mereka yang mempunyai rekod bersih dan berintegriti untuk mentadbir? Bagaimana moral dan semangat kerja kakitangan SPAD bila mereka perlu bekerja di bawah seorang Pengerusi seperti Isa?

Tengoklah lepas ni apa pula yang akan berlaku kepada SPAD! 

Dr Azman Ibrahim
19 Jun 2017