Peringatan Kepada Anak-anak Felda; Kebebasan Yang Diberi Oleh Ibu Bapa Perlu Dihargai
Oleh : Naraza Muda
Tragedi ‘sadis’ sering mengiringi kita menjelang Syawal terutama dari kalangan anak generasi Felda dan kejadian kemalangan maut sering didengar walaupun ianya tidak sampai tahap ‘biasa’.
Kejadian seorang pemuda anak generasi ke-2 Felda dari Jerangau Barat awal pagi tadi sewajarnya menjadi pengajaran kepada rakan-rakan lain agar tidak terlibat dengan kegiatan menunggang motosikal secara berkumpulan dan dengan cara membahayakan diri sendiri serta orang lain.
Allahyarham Nur Syaiful Abd Kadir, 24 menjadi mangsa korban pertama anak muda Felda menjelang Syawal dari kalangan warga Felda sekitar daerah Hulu Terengganu tahun ini.
Keghairahan mereka menunggang dan membonceng motosikal secara berkumpulan serta melulu mungkin sebab mereka diklasifikasikan sebaga berlumba.
Bahkan keberadaan mereka di atas jalan raya sehingga awal pagi memang agak menjadi perkara biasa sejak dari dahulu terutama dari kalangan warga Felda.
Kedudukan kampung mereka yang jauh dari jalan utama, mendorong mereka memandu berkumpulan berkumpul keluar dari tanah rancangan lewat malam dan berjumpa dengan rakan-rakan tanah rancangan lain yang berdekatan dengan alasan tiada aktiviti di dalam tanah rancangan sewaktu begini.
Memang mana-mana pihak pun tidak mengajurkan apa-apa majlis lewat malam kerana waktu sebegini adalah waktu beristirehat di rumah menanti sahur.
Alasan meniti masa mereka dengan kebosanan, menjemukan atau ‘puas’ dan perlukan keriangan atau keseronokan, sewajarnya tidak dijadikan alasan dan amalan untuk menyokong aktiviti ini.
Perkara ini bagaikan tradisi di kalangan warga anak-anak muda Felda dan sukar dibanteras tanpa kerjasama semua terutama keluarga dan diri sendiri.
Penguatkuasaan daripada pihak Polis bukan jalan penyelesaian kepada masalah ini, namun mereka diperlukan untuk mengekang aktiviti kurang sihat ini berleluasa bagi menjamin keselamatan diri mereka dan orang lain terutama pengguna jalan raya.
Kita juga tidak boleh menjadikan alasan ‘ sudah sampai ajal’ bagi mengiakan aktiviti dan terkorban dengan cara trajedi sebegini tanpa berusaha mengelak serta membanteras secara berterusan.
Pihak pengurusan Felda, JKKR, Rela dan Polis sering bergandingan menyekat aktiviti ini namun ianya bermusim atau kadang-kadang mengikut waktu tertentu.
Apa yang penting kesedaran diri anak muda Felda itu sendiri menjadi unsur terpenting dalam mengekang gejala ini berterusan dan tidak mengundang trajedi ‘air mata’ ahli keluarga dan sahabat handal.
Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) Terengganu menyeru seluruh warga muda anak-anak Felda di seluruh Terengganu agar dapat sama-sama mengelak kejadian seperti ini.
Keseronokan bertukar tragedi kita boleh mengubahnya. Banyak lagi cara lain untuk diisi sebagai riadah’ malam’ yang boleh menjadi pilihan. Hargailah kehidupan kita ini dengan menjalani kehidupan dengan gaya sihat dan menghayati kemulian ramadhan itu sendiri.
Kita bersama menanti 1 Syawal nanti dengan keriangan bersama. Satu tradisi kita warga Felda sejak dari awal ibu-bapa kita bergelar peneroka Felda puluhan tahun lalu.
Ibu -bapa kita tidak sewajarnya kita longlaikan mereka dengan berita kematian kita menjelang Syawal, pemergian Nur Syaiful seawal pagi 20 Ramadhan 1438h sewajarnya kita jadikan satu pengajaran untuk kita semua tanpa menunding kepada mana-mana pihak. Ayah mana tidak sayangkan anak? Ibu mana yang tidak luluh hatinya mendapat khabar berita kematian?
Kita mampu mengubahnya, kita mampu menjalani kehidupan yang ceria dan diredhoi Allah. Semoga kita warga Felda seluruh Terengganu dapat menyambut syawal tanpa dilingkari kejadian sebegini.
***Naraza Muda ialah Pengerusi GENERASI Terengganu
Post a Comment