Akur Dengan Keputusan Mahkamah, Nawaz Sharif Letak Jawatan.
ISLAMABAD, PAKISTAN, 30 Julai - Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif meletak jawatan selepas Mahkamah Agung Pakistan semalam membatalkan kelayakan pemimpin yang diselubungi tuduhan rasuah terhadapnya.
Dalam keputusannya, Hakim Ejaz Afzal Khan berkata: “Kelayakannya sebagai ahli Parlimen dibatalkan, jadi dia tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.”
Keputusan itu kali ketiga dia disingkirkan daripada jawatan itu sepanjang kerjaya politiknya, selain turut mengakhiri penggal ketiga pemerintahan Nawaz, kira-kira setahun sebelum pilihan raya umum dijadualkan.
Sementara itu, mahkamah turut meminta biro antirasuah negara menjalankan siasatan lanjut terhadap Nawaz berhubung kebocoran Kertas Panama yang mengaitkan keluarganya dengan perniagaan luar pesisir, tahun lalu.
Sebelum ini, pada April lalu, Mahkamah Agung mendapati tiada bukti kukuh untuk memecat Nawaz berhubung tuduhan rasuah dan mengarahkan pasukan penyiasat ditubuhkan untuk membuat pemeriksaan lanjut.
Susulan itu, pasukan terdiri daripada penyiasat awam dan tentera berkenaan mendapati ‘perbezaan ketara’ antara pendapatan keluarga terbabit berbanding gaya hidup diamalkan mereka.
Nawaz dan sekutunya berulang kali menafikan dakwaan terhadap mereka dengan Parti Liga Muslim Pakistan (N) bulan ini menolak laporan pasukan penyiasat sebagai ‘sampah.’
Tekanan terhadap Nawaz diterajui bekas pemain kriket yang kini ahli politik, Imran Khan dan partinya, Tehreek-i-Insaf (PTI). (AFP)
Post a Comment