Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Bolehkah berharap pada Pakatan Harapan? - PSM



1. Pakatan Harapan (HARAPAN) nampaknya tidak memberi apa-apa harapan yang sebenar kepada rakyat apabila Mahathir Mohamad semakin ditampilkan sebagai pemimpin agung untuk gabungan parti pembangkang aliran utama ini.

2. Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang ini, hanya bermatlamat untuk menggantikan Najib Razak yang memegang jawatan Perdana Menteri pada masa kini. Selain itu, puak yang berpecah daripada UMNO ini tiadanya wawasan untuk membawa perubahan yang sebenar kepada sistem politik di negara kita yang penuh dengan kepincangan, rasuah, penyelewengan kuasa, kronisme, nepotisme, rasisme dan ketidakadilan sosial.

3. HARAPAN yang dibentuk selepas perpecahan Pakatan Rakyat pada tahun 2015, sepatutnya menawarkan dirinya sebagai alternatif politik yang bakal menggantikan BN dengan corak pentadbiran dan dasar-dasar yang berbeza untuk memperjuangkan kesejahteraan rakyat. Namun, ini tidak berlaku, malah HARAPAN menjadi semakin lemah dan gagal memantapkan
politik pembangkang dengan halatuju yang jelas. Malah, yang lebih mengecewakan lagi adalah apabila HARAPAN tergopoh-gapah dalam menjalin kerjasama dengan puak Mahathir.

4. Kerjasama dan penggabungan dengan puak Mahathir, merupakan satu pendekatan yang oportunis, dengan harapan dapat menggantikan kerajaan UMNO-BN yang dipimpin Najib sekarang ini. Oleh sebab penggabungan politik HARAPAN dengan puak Mahathir ini bersifat oportunis, maka ia telah mengetepikan prinsip perjuangan asas untuk melakukan reformasi terhadap sistem politik di negara kita. Yang tinggal hanyalah “gambaran besar” (tetapi amat sempit) untuk menggantikan PM yang sedia ada, dan retorik kosong tentang reformasi.

5. Jika sebut tentang oportunis, sebenarnya Mahathir lebih pandai dalam mempermainkan strategi oportunis berbanding HARAPAN, sehinggalah sekarang ini HARAPAN sebagai gabungan parti politik pembangkang aliran utama di negara kita sekarang ini seolah-olah sedang dipimpin oleh
Mahathir.

6. Penggabungan politik secara oportunis, hanyalah percaturan politik elit yang terpisah daripada realiti kehidupan rakyat biasa. Oleh sebab percaturan politik elit yang begitu terpisah daripada rakyat biasa, maka apa-apa perubahan politik yang berlaku kerana percaturan ini tidak akan melibatkan rakyat biasa dan hasilnya juga tidak akan membawa faedah kepada rakyat biasa, malah mungkin mendatangkan akibat yang lebih teruk.

7. Perlu jelas tentang satu perkara, puak Mahathir menyertai HARAPAN bukannya komited pada agenda Reformasi ataupun apa-apa perubahan politik yang bermakna untuk rakyat marhaen, tetapi sekadar kerana mereka kehilangan kuasa dan tiada lagi jalan lain untuk merampas semula kuasa kecuali bergantung pada kerjasama dengan parti pembangkang aliran utama yang juga semakin lemah akibat masalah dalamannya.

8. Adalah amat ironi sekali, apabila Mahathir, seorang polikus hebat yang pernah menyandang jawatan PM untuk 22 tahun (yang merosakkan sistem kehakiman, menjadi bapa kepada kronisme, memperkenalkan dasar penswastaan untuk menggadaikan hak rakyat, menindas rakyat dengan akta
zalim dan banyak lagi), sedang diangkat sebagai ikon pembangkang, ikon yang kononnya membawa “harapan baru”, ikon penyelamat Malaysia. Jikalau ini bukannya satu jenaka, maka mestinya satu penghinaan kepada perjuangan rakyat untuk demokrasi dan keadilan sosial.

9. Mahathir bukannya penyelamat Malaysia, malah juga bukannya penyelamat pembangkang. Mahathir hanya penyelamat kepada legasinya dan puak politiknya yang hilang kuasa dalam UMNO-BN.

10. Mungkin ada orang ingat boleh mengambil jalan pintas untuk menuju Putrajaya. Namun, sesuatu jalan pintas tidak semestinya akan membawa kita ke destinasi asal tetapi terpesong ke tempat lain pula. Jika hanya fikirkan mengambilalih kuasa sahaja tanpa membawa agenda perubahan sebenar yang memperdalamkan demokrasi, memperkasakan rakyat dan mensejahterakan masyarakat, tidak mungkin adanya apa-apa perubahan yang bermakna untuk rakyat selepas ambilalih kuasa.

11. Tiada jalan pintas untuk perubahan sosial yang mendatangkan demokrasi sejati dan keadilan sosial. Kita hanya dapat mencapai perubahan sosial dengan membina kuasa rakyat dari bawah. Membina kuasa rakyat dari bawah merangkumi kerja-kerja akar umbi untuk mewujudkan kesedaran rakyat, menyakinkan rakyat marhaen tentang keupayaan mereka untuk mengubah nasib sendiri dan menggerakkan rakyat untuk memperjuangkan sebuah masyarakat yang lebih bebas, demokratik,
samarata, adil dan sejahtera.

12. Dalam politik untuk pembebasan rakyat, tiadanya penyelamat hebat kecuali rakyat sendiri. Harapan untuk perubahan terletak dalam tangan rakyat sendiri.

13. Kita boleh membina alternatif sebenar dengan melalui organisasi masyarakat yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat marhaen. Kita boleh membina kepimpinan rakyat dari bawah melalui gerakan rakyat yang berterusan.

Parti Sosialis Malaysia
24 November 2016