Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Ustaz Hafiz Nordin menang, Eric Paulsen diarah bayar RM20,000




BANGI, 24 Syawal 1438H Selasa – Mahkamah Tinggi hari menolak dakwaan fitnah yang dikemukakan peguam liberal Eric Paulsen ke atas bekas Pengerusi Gabungan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin.

Hakim Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu dengan memutuskan Paulsen gagal membuktikan tuduhan Hafiz Nordin membuat fitnah terhadapnya.

“Dia telah gagal menunjukkan kenyataan yang diucapkan Hafiz telah menjatuhkan reputasinya dalam masyarakat sehingga menyebabkan orang ramai memulaunya,” kata hakim.

Sehubungan itu hakim mengarahkan Paulsen membayar kos ganti rugi sebanyak RM20,000 kepada Hafiz.

Sebelum ini, Eric Paulsen yang merupakan seorang peguam dan aktivis Lawyers For Liberty, sebuah NGO liberal berkaitan hak asasi manusia, mengemukakan saman tuntutan balas ke atas Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ustaz Hafiz selaku defendan pertama dan kedua.

Bagaimanapun Paulsen menarik balik saman tuntutan balasnya ke atas Isma setelah Isma menarik balik samannya ke atas Paulsen, tetapi Paulsen tidak menarik balik samannya ke atas Ustaz Hafiz.

Saman tuntutan balas Paulsen bersandarkan kepada artikel yang diterbitkan dalam Portal Islam dan Melayu (www.ismaweb.net) pada 09/02/2015 bertajuk “Jangan biar Eric Paulsen bebas tanpa perbicaraan” yang mana Ustaz Hafiz telah mengungkapkan kata-kata berikut:

“Apa yang penting kita buktikan bahawa Eric yang didukung oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah sebagai seorang fraud yang ‘cari makan’ dengan menipu, memfitnah itu telah menghasut masyarakat membenci Islam dengan tweet-tweetnya yang tidak bertanggungjawab.”