Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Hadi: 4 ikrar PAS sempena kemerdekaan Ke-60



Bersempena dengan kita memperingati Hari Kemerdekaan tanah air, marilah kita mengenang jasa para pahlawan kemerdekaan kita khususnya daripada kumpulan Islam daripada PAS bersama dengan pendukung Islam yang lain termasuk yang ada dalam kerajaan pada masa itu.

Pertama, mereka telah berjaya meletakkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga Suruhanjaya Reid terpaksa meletakkan Islam adalah Agama Persekutuan. Ini satu kejayaan yang sangat penting yang perlu kita dipertahankan.

Kita perlu juga memelihara konsep Raja Berperlembagaan yang menjadi ketua kepada agama Islam, kedudukan Melayu Islam yang diberi hak istimewa dan menerima masyarakat majmuk pelbagai kaum. Hal-hal ini mesti dipelihara dan menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kemerdekaan ini, apabila penjajah meninggalkan belenggu-belenggu di dalam Perlembagaaan.

Antaranya adalah Jadual ke-9 yang disebut Akta 355 untuk membelenggukan kuasa Islam, merendahkan Mahkamah Syariah supaya Mahkamah Syariah dijajah dan tidak ada kuasa. Percubaan kita melalui Parlimen mendapat respon yang sangat positif daripada ahli-ahli Parlimen Islam, hanya segelintir sahaja yang menganggap enteng dalam perkara ini dan mendapat tentangan daripada orang bukan Islam. Ini adalah usaha untuk memerdekakan Perlembagaan Malaysia sebagai langkah awal yang perlu kita laksanakan dan menguji sejauh mana kesetiaan rakyat negara ini terhadap Perlembagaan yang mesti kita pertahankan.

Yang kedua, Raja yang berkonsepkan kepada Perlembagaan. Apa yang berlaku adalah pemimpin UMNO pada hari ini merampas dan membatalkan kuasa raja-raja. Tanggungjawab kita bukan membatalkan kuasa, tetapi memperhebatkan dan memperbetulkan kuasa itu mengikut landasan Islam dan dilakukan islah. Kalau sekadar mengambil kuasa raja-raja untuk mengambil alih kuasa, itu bukan cara untuk memerdekakan negara.

Kemerdekaan negara adalah dengan memperkasakan Institusi Raja-raja dengan Islam. Ini merupakan satu aspek yang sangat penting. Raja-raja dengan kedudukan dan kehebatannya mesti bersama dengan Islam. Ini yang perlu kita wujudkan, bukan meminda Perlembagaan untuk mengambil alih kuasa.

Yang ketiga, orang Melayu sebagai teras kepada politik negara kerana disebut oleh ulama dalam feqah politik Islam dan saya tulis dalam Harakah bahawa Islam mesti memimpin. Kaum yang dominan beragama Islam adalah diutamakan untuk memimpin negara. Ini mesti dipertahankan supaya kemerdekaan itu dapat dilaksanakan dengan cara yang betul.

Yang keempat, kaum yang lain yang bukan Islam jangan merasa bimbang dengan meletakkan Melayu Islam sebagai teras politik negara kerana Islam dapat mengawal perasaan kebangsaan. Islam dapat membetulkan keadaan ini dan Islam yang berkonsepkan adil untuk semua boleh memelihara keharmonian kaum dan masyarakat majmuk dengan cara yang sebaik-baiknya. Kita bimbang sekiranya asas-asas Perlembagaan ini dibubarkan, akan berlaku perkara-perkara yang negatif yang mengundang kembali zaman penjajahan.

Kita telah menghadapi penjajahan bentuk baru pada zaman ini melalui campur tangan asing di banyak negara. Penjajah asing datang kembali, bukan sahaja untuk menguasai ekonomi termasuk menguasai politik.

Dengan sebab itu, kita mesti teguhkan kemerdekaan ini dengan asas yang sudah ada dalam Perlembagaan itu berasaskan kepada Islam sebagai penyelamat kepada semua.

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-60 kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa. Mudah-mudahan Allah S.W.T. memberkati kita semua.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS