Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Jangan Campurkan Yang Haq Dengan Yang Batil



Bagi yang memahami tasawwur Islam, Allah melarang mana-mana penganutnya mencampur-adukkan perkara-para yang haq (benar dan diredhai Allah) dengan yang batil (tidak benar dan dimurkai Allah) sebagaimana Firman-Nya dalam ayat ke-42, surah al-Baqarah:


“Dan janganlah kamu campuradukkan yang haq (kebenaran) dengan yang bathil (kepalsuan) dan janganlah kamu sembunyikan yang haq itu, sedang kamu mengetahui. Dan dirikanlah salat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku.’ ”

Di dalam Tafsir Ibn Kathir ada dijelaskan bahawa kedua-dua ayat itu membawa maksud yang dikaitkan dengan golongan Yahudi yang mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan. Qatadah pula menyebutkan maksud ayat itu supaya orang Islam tidak mencampur-adukkan ajaran Yahudi dan Nasrani dengan ajaran Islam.

Yang demikian itu amatlah jelas bahawa yang benar (haq) mesti tidak disamakan atau dianggap sama denga yang batil. Batil di sini merujuk kepada sesuatu yang Allah larang dan murka jika umat Islam lakukannya. Ia boleh bermaksud sesuatu yang diharamkan, ditegah atau dibenci oleh Allah. Dengan kata lain: jika buat juga akan berdosa, jika tinggalkan mendapat pahala. Islam memang mudah tetapi ada garis panduannya yang amat jelas.

Islam juga berkait dengan 2 kehidupan: kehidupan di dunia sebagai persiapan untuk hidup lebih lama dan kekal di akhirat. Umat Islam kena siap mematuhi suruhan Allah semasa hidup di dunia untuk mendapatkan ganjaran syurga Allah di akhirat. Ia berkaitan denagn konsep dosa dan pahala dalam Islam. Ini adalah sebahagian doktrin yang sangat penting bagi seorang Muslim. Jika tidak percaya, boleh gugur syahadah mengikut ramai ulamak muktabar sejak dulu hingga sekarang.
Itulah batas-batas iman dan kufur yang mesti seorang Muslim pelihara betul-betul supaya tidak gugur syahadahnya. Gugur syahadah bermakna “menjadi bukan Islam lagi” dan perlu bertaubat nasuha serta melafazkan syahadah semula untuk kembali kepada Islam. Islam tidak rigid tapi serius mengenai perkara-perkara melibatkan hokum hakam berkaitan ‘aqidah. ‘Aqidah dan Tawhid adalah perkara yang sangat fundamental dalam Islam dan tidak boleh dikompromikan.

Atas kepentingan menjaga iman itulah, kita nak tanya: apa tujuan IRF dan G25 anjurkan pelbagai program dengan tetamu jemputan dari luar negara membicarakan pelbagai topik semasa Islam dengan tafsiran “liberal” ke arah “neo-muktazilah.” Kita sudah huraikan di atas agar jangan dicampur-adukkan yang benar dengan yang palsu dalam Islam. Itu dosa namanya. Bukan dosa peribadi sebagaimana difahami oleh golongan liberalis-sekularis-pluralis yang ingin dibawa kembali oleh kumpulan G25 dan Islamic Renaissance Front (IRF).


Telah banyak dibangkitkan dalam media betapa G25 dan IRF sering mencabar kerajaan dan umat Islam. Mereka telah gagal kemukakan Islam dalam bentuk liberal yang mereka mahukan. Terkini mereka juga gagal dalam Simposium Kesederhanaan al-Qur’an yang dianjurkan pada 19 Ogos 2017 yang lalu. Hatta tetamu jemputan mereka Dr. Mun’im Sirry membangkitkan pandangan sesat lagi meleset kononnya al-Qur’an tidak sesuai diturunkan di bumi Makkah dan Madinah, malah lebih sesuai diturunkan di Mesopotamia (Mesir kuno) seperti dilaporkan dalam https://www.menara.my/quran-tidak-relevan-dan-sebenarnya-turun-di-mesopotamia/.


Katanya lagi bahawa “umat Islam dan umat selain agama Islam seperti penganut agama Yahudi dan Kristian sebenarnya menyembah tuhan yang sama berdasarkan potongan ayat al-Qur’an yang dibacanya: ilahuna wa ilahukum wahid” seperti dilaporkan dalam https://www.menara.my/munim-sirry-menulis-semula-surah-al-kafirun/.


Di antara pakar rujuk yang diiktiraf G25 (lihat perakuan Datuk Faridah Khalid, pengasas bersama G25 dalam https://www.menara.my/dr-maza-antara-rujukan-kami-g25/) ialah Mufti Perlis, Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Maza). Dr. Maza sendiri yang beri ucaptama dalam simposium G25-IRF 19 Ogos 2017 tidak tahan telinga lalu bangkit memberi ulasan bertentangan dengan Dr Mun’im Sirry dan panelis lain jemputan penganjur.


Dan terkini IRF akan menjemput Mustafa Akyol untuk merasmikan buku nukilan Robert R. Reilly yang bertajuk ‘Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin’ di Concorde Hotel Kuala Lumpur pada 23hb September akan datang. Beliau sebelum ini pernah membuat dakwaan bahawa syariah itu adalah perkataan yang toksik dan tiada hukuman untuk pembuat dosa di dalam Islam seperti dalam https://www.menara.my/syariah-perkataan-toksik-mustafa-akyol/.


Mustafa yang sering berulang ke Malaysia atas jemputan G25 atau IRF pernah juga berkata dalam satu forum anjuran IRF yang bertajuk “Can Islamists be Liberals?”, bahawa tiada hukuman untuk dosa di dalam al-Qur’an. Menurutnya, “Qur’an tidak pernah menghukum apa yang saya katakan sebagai ‘dosa’, ianya sentiasa menghukum jenayah. Saya ada satu bab dalam buku saya (berkenaan isu hukuman di dalam Qur’an). Walaupun hudud terdapat di dalam Qur’an namun ianya berkaitan jenayah yang boleh mencederakan orang lain.”


Selain daripada itu Mustafa Akyol juga mendakwa bahawa ulamak memperkenalkan hukuman ke atas perkara-perkara dosa melalui qiyas. “Perkara-perkara berkenaan dosa peribadi, Qur’an tidak memberikan sebarang hukuman. Namun, ulamak memperkenalkan hukuman ke atas perkara-perkara dosa melalui qiyas.” (lihat https://www.menara.my/tiada-hukuman-untuk-perbuatan-dosa-dalam-al-quran-mustafa-akyol/).


Buku yang bakal Mustafa lancarkan itu telah diterjemahkan daripada buku asal berjudul, The Closing of the Muslim Mind, merupakan hasil karangan seorang mantan pegawai tentera Amerika Syarikat yang pernah berkhidmat sebagai Penasihat Kanan ketika Amerika Syarikat menyerang Iran pada tahun 2003.

Penerbitan buku ini adalah antara usaha pihak IRF untuk menterjemah karya-karya penulisan Orientalis dan Liberalis ke dalam Bahasa Melayu untuk pembacaan ramai (sila lihat https://www.menara.my/sekali-lagi-mustafa-akyol-bakal-bawa-idea-idea-liberal-sesat/).
Mustafa banyak terpengaruh dengan idea-idea liberal Barat dan kehadirannya pastilah untuk endorse usaha-usaha untuk “meliberalisasikan Islam” yang difahami oleh sebahagian besar umat Melayu-Islam di Malaysia. Atas faktor itulah tokoh-tokoh politik pembangkang diambil sebagai panelis forum berikutan “perasmian dan ucaptama” oleh Mustafa untuk deliberate segala hujah Mustafa, barangkali untuk “dilegitimasikan sebagai sahih dan boleh diterimapakai di negara ini.”


Di situlah letak bahayanya program berkenaan untuk dilakukan secara terbuka walaupun atas jemputan atau hadirin yang mendaftarkan nama untuk hadir sahaja. Mohon kerajaan mengambil tindakan mencegah daripada mengubati racun yang sedang disuntik ini.
Islamic Renaissance Front (IRF) yang digerakkan atas kosep neo-muktazilah (lihat https://www.menara.my/pengikut-sunnah-pemalas-hanya-pandai-duduk-dan-jampi-serapah-farouk-musa/) dan bertentangan dengan aqidah ahli sunnah wal-jamaah anutan mazhab Syafi’iy Malaysia (lihat ulasan akademik oleh Dr. Amran Muhammad dalam https://www.menara.my/prinsip-keadilan-muktazilah-mewajibkan-islamic-renaissance-front-irf-berlaku-adil-kepada-imam-al-ashari-ashairah-dan-imam-al-ghazali/).


Aktiviti IRF sebegini tidak wajar diizinkan oleh kerajaan untuk terus mengimport pensyarah dan pencemarah luar berfaham liberal yang songsang lagi menyesatkan sebagaimana yang dinyatakan secara jelas oleh Tan Sri Dato’ Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM baru-baru ini (lihat https://www.menara.my/jakim-kesal-irf-g25-bawa-masuk-fahaman-liberal-dan-sesat/).
Sampai bila umat Islam akan dimomokkan dengan penceramah sesat lagi songsang anjuran G25 dan IRF ini? Tidak serik lagikah pihak berkuasa dengan beberapa siri seminar dan wacana anjuran G25 dan IRF yang beragendakan fahaman liberal-sekularis-liberalis yang sudah ditolak oleh JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan?


Lagipun, bukankah anjuran program sebegitu mencabar Perkara 3(1) dan Perkara 37 (1) Perlembagaan Persekutuan kerana content penyampaian yang bertentang dengan pandangan jumhur ulamak. Ketua Pengarah JAKIM sudahpun berikan teguran. SS Mufti Perlis yang hadir sendiri dalam simposium berkenaan sudah buktikan panelis jemputan anjuran bersama G25 dan IRF tidak membawa ajaran Islam yang sebenarnya.


Apakah kerajaan masih menunggu sehingga NGO-NGO Islam berarak menyatakan protes secara besar-besaran terhadap G25 dan IRF sebelum boleh bertindak? Laporan polis yang dibuat sebelum ini pun tiada tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.


Atau kerajaan menantikan parti PAS memberikan bantahan besar-besaran barulah mengambil tindakan? Al-maklumlah – PAS kini “rakan politik penting” menjelang PRU-14. Kalau demikianlah perhitungan politik kerajaan, apa tunggu lagi duhai pimpinan PAS? Bukankah perjuangan PAS tercakup dalam konsep al-amru bi’l ma’ruf wa nahyu ‘anil-munkar dan mendaulatkan Islam sebagaimana terangkum dalam Perlembagaan negara?


Mohd Khairul Anwar al-Idrus