#PRU14: UMNO Kelantan sudah kenal pasti muka baru - Mustapa
TANAH MERAH: Gabungan pemimpin sedia ada dan barisan baharu akan memperkuatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Kelantan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya telah mengenal pasti muka baharu tersebut untuk diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya nanti.
"Kita ada dua kumpulan. Yang pertama, pemimpin yang ada, termasuk wakil rakyat. Yang kedua, barisan baru pelapis.
"Kita ada beberapa orang yang sudah dikenal pasti, termasuk Asyraf Wajdi sebagai contoh," katanya merujuk kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
"Dan kita akan gabungkan. Bila tiba masanya, kita akan tonjolkan mereka," kata Mustapa pada satu sidang media hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan khas bersama pemimpin akar umbi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mahmud Paduka 2 di sini.
Beliau menjelaskan, gabungan lama dan baharu dengan penampilan anak muda itu diharap akan dapat menambat hati rakyat Kelantan yang mahukan perubahan.
Katanya, situasi politik di negeri itu ketika ini, berdasarkan maklum balas dari rakyat, mereka inginkan perubahan dan mahu menukar kerajaan sedia ada.
Justeru, kata Mustapa, gabungan muka lama dan baru itu kelak diharap dapat memantapkan barisan kepimpinan UMNO Kelantan dalam menawarkan khidmat kepada rakyat.
Post a Comment