Agenda jahat dengan perubatan moden?
Saya diminta mengulas satu artikel dari blog yang bertajuk AGENDA JAHAT DALAM INDUSTRI PERUBATAN MODEN. Awalnya saya berbincang dengan rakan-rakan, agar tidak perlulah melayan blog picisan tersebut.[1] Tetapi semakin ramai para netizen dan pengguna media sosial lain share. Mereka share demi untuk dapatkan kepastian dari pihak berwibawa, adakah benar tulisan tersebut?
Pendahuluan
Setiap bahan/ubat atau produk yang ingin kita gunakan wajib dipastikan ianya diambil bersumberkan kefahaman yang sahih atau hampir mendekati keyakinan. Allah menjadikan ilmu syariat untuk diikuti, dan ilmu alat untuk dikaji. Di sini terjelmanya syariatullah dan sunnatullah. Sesuatu bahan/ubat atau produk yang diambil sebagai kaedah untuk berubat, jika ianya sahih melalui syariatullah seperti yang terdapat dalam Al Quran dan Hadis, wajib kita patuhi tanpa ingkar. Manakala sesuatu bahan yang tiada dalil, ianya perlu melalui proses kajian agar terbukti secara akal.
Contohnya air itu hukum akalnya menghilangkan dahaga, api itu hukum akalnya memanaskan maka, terimalah kita bahawa perkara itu termaktub dalam sunnatullah atau ketetapan asbab dan akibat yang telah menjadi peraturan alam. Semunya ini di bawah takluk ilmu Allah jua yang Maha Luas. Jika pucuk jambu (contoh amalan orang tua-tua), boleh mengubati cirit-birit, maka pengalaman orang terdahulu perlu dipadukan dalam bentuk kajian di masa kini bagi membuktikan bahawa pucuk jambu itu boleh mengubati cirit-birit. Tidak salah untuk kita menggunakannya selagi tidak mendatangkan mudarat, dengan syarat ianya lebih mendekatkan kita kepada keyakinan pada sesuatu.
Namun kajian mendapati ubat cirit-birit bernama hyoscine itu lebih cepat kesembuhannya menghilangkan perut memulas berbanding dengan pucuk jambu. Justeru apa salah kita menggunakan bahan yang sudah tersedia dikaji kerana ianya telah dibuktikan lebih berkesan?
Displin Ilmu Perubatan Moden
Jika saya menjawab isu ini sekalipun, pihak yang menentang perubatan moden akan menuduh saya berat sebelah sebab saya lahir dari disiplin perubatan moden itu sendiri. Pun begitu, tulisan mereka itupun juga berat sebelah kerana mengagungkan perubatan herba yang tidak sahih dan tiada bukti. Lebih dari itu, tujuan berkenaan ditulis bagi melariskan jualan produk dengan kaedah memburukkan displin perubatan lain terutamanya perubatan moden.
Perubatan saintifik kajian yang diistilahkan sebagai perubatan moden bukanlah sesuatu yang terpesong dari disiplin ilmu dalam Islam.[2] Malah Islam sendiri mengiktiraf kaedah perubatan menggunakan bahan-bahan yang disahihkan dari ujikaji (emperikal). Lihat sahaja sejarah perkembangan ilmu perubatan di zaman kegemilangan Islam. Nama-nama mashyur seperti Ibnu Al Haitham, Al Khawarizmi, Ibnu Sina dan ramai lagi telah mempelopori kaedah perubatan emperikal ini. Sebagai contohnya Muhammad ibn Zakariyyā al-Rāzī (meninggal dunia 925) adalah pemula kepada penemuan penyakit cacar dan campak sehinggakan beliau digelar pakar imuninologi. Disiplin ilmu perubatan moden ini sebenarnya mengambil asas sebab akibat sesuatu kejadian itu berlaku dan semuanya dicatat hasil dari ujikaji yang dijalankan. Jika bersesuaian dengan ubat bagi penyakit itu, maka ia dikira berjaya dan digunakpakai. Jika sebaliknya para pakar perubatan mencuba lagi dengan kaedah kajian lain sehingga lah kini banyak penemuan demi penemuan baharu dalam dunia perubatan. Justeru, kajian dan pembangunan dalam bidang ini sudah tentu memerlukan dana yang banyak. Ianya bukan dibancuh belakang rumah dan terus mendakwa bagai. Tidak hairanlah jika dunia habis bertrilion ringgit bagi membangunkan disiplin perubatan melalui ujikaji dan pengurusan pesakit ini.
Kita sebenarnya tidak terikat dengan permainan istilah samada sembuh (cure) atau rawat (treat). Kesemua kaedah yang digunakan adalah untuk memberi manfaat kesihatan kepada pesakit. Ia bergantung kepada jenis penyakit, kaedah perebakan, dan bagaimana pengurusan secara individu. Jika ada yang mendakwa kencing manis boleh disembuhkan dengan ubatan herba, sila buktikan! Bagi ilmu perubatan moden, kencing manis adalah sejenis penyakit kronik dan progresif (keterukan berdasarkan tahap sakit dalam garis-masa). Merawat kencing manis adalah dengan mengawal kandungan gula dalam badan. Malah merawatnya juga perlu menjangkaui paras gula: kandungan kolesterol, fungsi jantung, fungsi buah pinggang dan pelbagai lagi perlu diambil kira bagi perawatan optima dan elakkan komplikasi. Bukan semudah yang disangkakan. Bukan hanya cukup sekali bacaan gula dipagi yang tenang! Pemantauan perlu sepanjang hayat. Adakah ini dikira sebagai memaksa pesakit untuk terikat dengan perubatan moden?
Memang benar terdapat penyakit yang hanya boleh dikawal, bukan disembuhkan pada masa ini. Ilmu yang luas ini perlu dikaji lagi, kemungkinan melalui kajian, penyumbuhan akan terjelma dalam merawat penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan seumpamanya. Ini bermakna kajian demi kajian dari pengkaji perlu diteruskan.
Antibiotik dan Kemoterapi
Dua ubatan ini selalu dikambing hitamkan oleh orang yang paranoid dengan perubatan moden. Hujah mereka pun lemah dan tidak mengerti apa itu fungsi antibiotik dan kemoterapi. Hatta mereka cuba mengaitkan antibiotik dengan kanser. Ke laut terus hujahnya! Kemudian cuba mempromosi herba seperti bawang putih yang kononnya didakwa sebagai antibiotik! Sadis jika ramai yang mempercayainya. Seingat saya, bawang sedap jadi rempah dalam tomyam, tak nafikan.
.
Kajian ke atas bawang merah dan bawang putih boleh merawat kanser, kencing manis dan sebagainya lagi pernah dilakukan.[3] Pengkaji dari China menemui secara ujikaji makmal, bawang membantu merencat sel kanser (tetapi terdapat limitasi penggunaanya), tetapi kajian dari US sebaliknya. Malah bawang boleh membawa risiko kanser dalam jumlah tertentu. Begitu juga dengan rawatan lain oleh bawang. Kajian tidak konklusif samada ianya sama taraf dengan antibiotik atau ubat kencing manis perubatan moden.[4] Kita lihat sahaja, mana ada hospital seluruh dunia memasukkan cairan bawang putih secara intravena sebagai gantian antibiotik? Tak masuk akal....
Konspirasi Vaksin dan GcMaf
Saya telah memberikan jawapan ini dalam beberapa penulisan saya.[5] Pendek kata penulis artikel berkenaan hanya membawa teori karut. Akhirnya merugikan ummat sendiri.
Saya petik tulisan dari Pakar Perubatan: "Ubat anti kanser GcMaf yang disebut dalam artikel ini masih di peringkat kajian pre-klinikal (ujikaji haiwan dlm makmal, tidak dibuktikan lagi atas manusia)"
~Dr Hjh Sinari Salleh, Haematologist HRPZII
Akhir sekali tulisan berkenaan menyalahkan doktor perubatan moden sebagai doktor jahat. Kesian sungguh saya baca tulisan yang penuh dengan prejudis dan paranoid sedemikian. Seolah-olah seluruh doktor moden ini sudah tiada nilai dan etika kedoktoran yang dipegang. Yang betul adalah mereka sahaja.
Bagi saya, tidak akan menafikan mana-mana disiplin perubatan atas muka bumi ini. Cumanya bawakan bukti atas setiap dakwaan bahawa kaedah berubat itu berkesan, selamat dan berkualiti. Jika tiada, minta tolong diam aje la...
Semoga bermanfaat
Dr Suhazeli Abdullah
insan dhaif
#MedTweetMY
#MedicalMythBustersMalaysia
Pertanyaan lanjut: Fb.com/drsuhazeli
Banyak lagi artikel di www.suhazeli.com
8.10.2016
Kuala Berang
Link rujukan
[1] Artikel Agenda Jahat dalam Industri Perubatan Moden. http://bumiyangtercinta2.blogspot.my/2016/04/agenda-hitam-di-sebalik-industri.html?m=1
[2] Perubatan Moden dalam Islam.
http://dribnusina.blogspot.my/2016/03/perubatan-islam-dari-pandangan-pengamal.html?m=1
http://dribnusina.blogspot.my/2016/03/perubatan-islam-dari-pandangan-pengamal.html?m=1
[3] Bawang ubat kencing manis. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/9354029
[4] Bawang ubat kanser. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17093154
[5] Vaksin melemahkan bayi? http://suhazeli.com/wp/?p=1187
Post a Comment