Husam kantoi fakta dengan produk jimat minyak Pakatan Harapan?
Gara-gara memperkenalkan alat yang dikatakan boleh menjimatkan penggunaan petrol motosikal, pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan Datuk Husam Musa menerima kecaman netizen di Facebook.
Semuanya bermula apabila laman pseudosains PW Community memuat naik video menunjukkan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu sedang memperkenalkan sejenis alat kepada beberapa pemuda di halaman sebuah rumah.
"Pagi ni kita akan masukkan alat ni dalam tangki motor. Tujuannya untuk jimatkan penggunaan minyak motor, sekarang ini harga minyak pun mahal. Budak-budak motor duit dia tak banyak.
"Yang kedua alat ini boleh kurangkan asap. Asap ini adalah tanda bahawa minyak tidak dibakar habis.
“Kerana itu jadi asap dan kemudian ada bekas asap yang hitam dipanggil karbon," katanya dalam mukadimah ketika menjelaskan keupayaan alat itu lima orang pemuda yang hadir bersama motosikal masing-masing.
Penjelasan 'ke laut'
Pentadbir laman itu dalam nota iringan bersama video menjelaskan mereka tidak dapat memberikan penjelasan saintifik kerana tidak tahu komposisi kimia dalam alat yang dipromosikan Husam.
“Namun apa yang boleh kami katakan ialah penjelasan Datuk YB (Husam) mengenai molekul minyak menjadi bulat dan solid memang ke laut,” katanya.
Sementara itu, terdapat pengguna Facebook mengambil kesempatan menyindir Husam yang bergaya seperti jurujual yang sedang memperkenalkan produk itu.
"Masukkan bongkah besi atau batu. Nanti minyak dalam tangki akan jadi penuh, " kata pengikut Facebook PW Community, Sharizal Muhammad.
"Terpaksa jual produk macam ini pula. Sebab dia dah tahu bakal kehilangan kerusi PRU14 nanti," kata Khuram Ji pula.
Alat yang kelihatan seperti pintalan tali itu menurut pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan, akan membantu menjaga ekologi dan alam sekitar.
115 kuasa kuda
Katanya, apabila alat tersebut dimasukkan ke dalam tangki motosikal ia akan menyebabkan keseluruhan minyak dibakar.
"Insya-Allah secara 100 peratus. Ini bukan magik, ini adalah alat sains. Di mana molekul-molekul minyak (petrol) menjadi bulat, menjadi solid lalu dibakar sepenuhnya sehingga meningkatkan prestasi motosikal.
"Kita tidak boleh meningkatkan kuasa kuda motosikal tapi bila minyak tidak dibakar habis sebahagian daripadanya, kuasa motor itu tidak di dijanakan sepenuhnya.
"Walaupun 115 kuasa kuda tetapi kita hanya boleh laju mungkin boleh sampai 90 kuasa kuda atau 100," jelasnya merujuk kepada kapasiti enjin (cc).
Tambah beliau, apabila alat tersebut digunakan ia akan menjana sepenuhnya tenaga sesebuah motosikal.
"Kalau 115 kuasa kuda jadi 115 kerana itulah minyak dijimatkan. Kotoran tidak dikeluarkan dan kita akan rasa lebih kuasa, lebih power.
Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/394586#OPtXtjHPp7A5w287.99
Post a Comment