Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

KL pusat Arak terbesar Asia?



(9 September 2017)

1. Pendedahan sebuah portal, Portal Islam dan Melayu pada 6 September 2017 dengan isu sambutan pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ adalah sesuatu yang menggemparkan dan mengundang kemarahan umat Islam di negara ini. Ia berkaitan penganjuran pesta arak yang bakal diadakan pada pada 5 dan 6 Oktober 2017 di ibu kota Kuala Lumpur.

2. Pada tahun 2012, ketika ia julung kali diadakan, tujuannya sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia dan diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang dengan kehadiran 200 orang pengunjung. Ia diadakan sekali lagi pada tahun 2016 di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dan kehadiran mencecah 3500 orang. Pada tahun ini pula, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung dari serata dunia. Sasaran kali ini jauh lebih ramai dengan kehadiran 6000 orang. 

3. Melihat kepada penganjuran festival ini, tentunya tidak ada masyarakat khususnya umat Islam mampu berdiam diri dengan membiarkan penganjur sewenang-wenangnya mengadakan pesta maksiat buat kesekian kalinya di Kuala Lumpur. Adalah sesuatu yang memalukan buat negara Islam seperti Malaysia, apabila program mungkar mudah mendapat tempat di hati masyarakat dan dibiarkan penganjurannya tanpa halangan. Kita tidak sanggup jika Kuala Lumpur dikenali oleh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia.

4. Dalam penganjuran pesta arak ini, walaupun penganjur beralasan ia adalah aktiviti untuk bukan Islam termasuk mempromosikan pelancongan terhadap masyarakat, namun, yang paling dikesali kerana mereka memilih Malaysia sebagai lokasi pesta arak. Malaysia telah menjadi destinasi strategik untuk aktiviti bebas kepada masyarakat luar seperti tidak ada sekatan undang-undang dan peraturan. Walaupun umat Islam bukan menjadi sasaran penyertaannya, tetapi tiada had atau halangan jika ada orang Islam yang menyertainya, sekaligus menggamit sesiapa sahaja untuk hadir termasuk orang Islam.

5. Jika penganjuran tahun 2017 ini berjaya, tidak mustahil aktiviti yang berskala lebih besar akan diadakan pada tahun-tahun hadapan. Apakah jaminan keselamatan dapat diberikan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti berlaku jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain. Walaupun penganjur dikatakan akan bekerjasama dengan Uber melalui pelancaran kempen ‘Don’t Drink & Drive’ di dimana para pengunjung akan menerima kod pengangkutan Uber mereka untuk pergi balik ke pesta tersebut. Tetapi sesiapa boleh beranggapan mungkin banyak aksi lain yang berlaku sehingga terpaksa menempatkan anggota keselamatan berkawal di lokasi terbabit.

6. Pendedahan demi pendedahan mengenai kemungkaran oleh pelbagai pihak membuktikan telah banyak kepincangan berlaku di negara ini. Sama ada ‘Better Beer Festival 2017’ adalah aktiviti terlepas pandang oleh pihak kerajaan (mustahil kerajaan tidak mengetahui sesuatu aktiviti rasmi yang berlaku di ibu kota), atau sengaja dibiarkan bagi mengabui mata serta memenuhi kehendak segelintir masyarakat yang dahagakan budaya liar dan hedonisme. Namun bagi umat Islam yang prihatin, tidak ada suara yang dapat mengungkapkan perkataan terhadap penganjurannya – melainkan bantahan keras dengan memastikan ia tidak diadakan di ibu kota.

7. Kebencian masyarakat terbanyak terhadap aktiviti maksiat juga perlu dipandang berat dan diraikan, bukan hanya meraikan keinginan segelintir manusia yang memuja nafsu. Hati masyarakat yang tidak redha terhadap kemungkaran berlaku, merasa tertekan dengan keadaan dan boleh mengundang kegiatan ekstremis. 

DR Ustaz Riduan Mohd Nor