Pemberian "Tambang Atau Elaun" Pulang Mengundi Bukan Elemen Rasuah
Malaysia Corruption Watch (MCW) tertarik untuk mengulas kenyataan Datuk Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM kelmarin yang menyebut bahawa sebarang penawaran berbentuk dorongan, sama ada wang tunai atau hadiah adalah dianggap rasuah.
Beliau juga mengatakan sekiranya calon atau ahli politik yang spesifik menawarkan elaun kepada pengundi atas tujuan yang khusus adalah merupakan salah laku rasuah. Namun sekiranya pemberian itu merupakan bantuan kepada golongan miskin atau kurang berkemampuan tanpa mengkhususkan undian kepada calon atau ahli politik tertentu, tindakan ini BUKAN rasuah.
Kenyataan beliau adalah selari dengan kenyataan YB Datuk Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan pemberian wang sebagai bantuan elaun pengangkutan kepada pengundi untuk pulang mengundi tidak dikategorikan sebagai rasuah. Malah tiada paksaan untuk pulang mengundi calon atau ahli politik tertentu.
Pada pandangan saya, para pengundi di Malaysia amat matang dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap negara tanpa perlukan sogokan untuk memilih pemimpin yang tepat. Secara logiknya, pemberian elaun pengangkutan itu tidak mampu mempengaruhi pengundi untuk menyokong calon atau ahli politik secara khusus. Malah tiada bukti sahih bahawa pemberian elaun tersebut merupakan pemberian berbalas kerana UNDI SETIAP INDIVIDU ADALAH RAHSIA.
Budaya memberi bantuan elaun ini sudah menjadi kebiasaan semua parti politik dalam musim pilihan raya. Pemberian ini dilakukan secara terbuka dan tidak menetapkan undian tersebut kepada calon atau ahli politik yang spesifik.
Dalam hal ini, saya berpendapat sekiranya YB Datuk Paul Low meneruskan niat membentangkan idea pelaksanaan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14, isu seperti ini pasti tidak akan timbul kerana inilah masa yang sesuai akta tersebut boleh diguna pakai.
MCW menyifatkan tindakan beliau melewat lewatkan perlaksanaan PDEA umpama "menanti buah yang tak gugur" kerana kita semua sedia maklum bahawa di Malaysia tidak ada akta yang mengawal politik kecuali akta pilihan raya yang menghadkan jumlah duit kempen pilihan raya umum.
"Apabila tidak ada akta, SPRM tidak boleh berbuat apa-apa." Adakah ini yang membuatkan YB Datuk Paul Low sengaja melengah-lengah tindakan memperkenalkan akta PDEA?
Fungsi akta ini boleh melenyapkan pelbagai tohmahan yang sering diperkatakan oleh pihak tertentu bahawa wujud salah tadbir urus atau elemen rasuah dalam pilihan raya di Malaysia seperti isu yang dibangkitkan ini.
Sehubungan itu, MCW mendesak YB Datuk Paul Low untuk memberikan penjelasan yang terperinci 'kenapa' akta ini sengaja dilewat-lewatkan pelaksanaannya. Rakyat Malaysia ternanti-nantikan undang-undang yang lebih jitu bagi membuktikan pilihan raya dan parti politik lebih telus dalam pentadbiran harian terutamanya menjelang PRU ke - 14 ini.
Sekian.
Salam hormat,
HJ. JAIS BIN ABDUL KARIM
Presiden
(H/P: +60105431472)
4 September 2017
4 September 2017
Post a Comment