PH: DAP dominan, parti lain akur dengan kehendak 'big brother'?
Tertarik membaca pengesahan Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen, dan pemimpin DAP Kelantan, Chua Chin Hui, di dalam portal berita Malaysia Kini hari ini mengenai hasrat DAP untuk bertanding di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N9 Kota Lama dan N45 Galas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, N9 Kota Lama ditandingi, dan dimenangi dengan majoriti 6,618 undi, oleh calon PAS, Datuk Anuar Tan Abdullah, begitu juga N45 Galas yang ditandingi, tetapi tewas dengan majoriti 1,301 undi, oleh calon PAS, Abdullah Hussein. Jadi, secara logiknya, AMANAH berhak meletakkan calon di kedua-dua kerusi ini menggantikan tempat PAS.
Saya hairan mengapa asyik DAP sahaja yang kedengaran beria-ia sekali mahu mengambil-alih kerusi-kerusi yang menjadi milik parti-parti politik lain, khususnya PKR dan AMANAH, baik di Sabah, Selangor, Kedah, Johor mahupun Kelantan, sedangkan parti-parti politik lain ini tidak pula kedengaran mahu mengambil-alih kerusi-kerusi yang menjadi milik DAP.
Jika hasrat DAP untuk bertanding di kerusi-kerusi ini, khususnya kerusi-kerusi majoriti Melayu, adalah bertujuan untuk menepis tanggapan negatif rakyat terhadapnya bahawa ia adalah sebuah parti cauvinis, maka adalah lebih utama bagi DAP untuk turut memberikan sesetengah kerusi majoriti bukan Melayu miliknya kepada PKR, AMANAH atau PPBM.
Malangnya tawaran sebegini tidak pernah kedengaran dibuat oleh DAP kepada mana-mana parti politik lain manakala parti-parti politik lain pula bukan sahaja tidak pernah kedengaran menyatakan hasrat mahu mengambil-alih kerusi-kerusi yang menjadi milik DAP, malah tidak pernah kedengaran sekadar menyatakan hasrat mahu menukar kerusi dengan DAP sekalipun.
Oleh itu, jika ada yang beranggapan bahawa DAP adalah sebuah parti politik yang tamak manakala PKR, AMANAH dan PPBM pula adalah parti-parti politik yang penakut, maka maafkanlah mereka.
fb Dr Kamarul Yusof
Post a Comment