Siswazah Menganggur : Realiti Dan Solusi
Oleh : Ustaz Hafez Sabri
Negara digemparkan dengan berita seramai 54,103 lepasan universiti menganggur dalam tempoh 6 bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing pada tahun lepas. Malahan masalah itu berlanjutan selama beberapa tahun. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Senator Datuk Ng Chiang Chin dalam sidang Dewan Negara baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MEF, Petubuhan majikan terbesar negara, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata keadaan ekonomi yang lembap memaksa syarikat swasta berhenti mengambil pekerja baharu, menyebabkan pertambahan graduan yang menganggur. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata majikan kini berdepan cabaran memastikan kelangsungan perniagaan mereka di sebalik keuntungan yang semakin mengecil.
“Majikan kini berusaha menjimatkan kos, dan perkara utama ke arah itu ialah menilai semula dasar mengambil pekerja baharu. Kemungkinan jumlah graduan menganggur di negara ini lebih daripada 100,000 orang sekiranya tahun sebelumnya diambil kira”, katanya. Langkah untuk memanjangkan usia pesaraan daripada 55 kepada 60 juga menjadi faktor.
Manakala, Bank Negara pula melalui Laporan Tahunan 2016 yang diterbitkan pada 23 Mac 2017, dalam satu topik bertajuk “Pengangguran Belia di Malaysia : Perkembangan dan Pertimbangan Dasar”, ia mendedahkan masalah pekerjaan dan pengangguran golongan muda masa kini. Berdasarkan pemerhatian laporan tersebut, pengangguran belia di Malaysia telah mencapai kadar 10.7 peratus pada 2015, iaitu meningkat tiga kali ganda daripada kadar pengangguran negara 3.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Mengikut laporan tersebut, separuh daripada jumlah pekerja menganggur adalah golongan muda walaupun mereka hanya mewakili satu pertiga daripada jumlah tenaga kerja Malaysia. Kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding dengan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi pada kadar 9.8 peratus pada 2015.
Malahan laman sesawang http://www.investperak.gov.my/invest-in-perak/workforce/ turut melaporkan, kadar pengangguran bagi negeri Perak telah mencecah 3.9%. Data-data ini jelas membimbangkan dan mewajarkan satu usaha bersepadu perlu direncanakan segera memandangkan siswazah adalah aset negara, pewaris kepemimpinan negara pada masa hadapan. Panduan Islam harus menjadi solusi bagi memastikan isu pengangguran ini dapat diatasi sewajarnya seterusnya mewujudkan kehidupan masyarakat sejahtera bersama Islam.
Solusi Islam Bersifat Menyeluruh
Islam mewajibkan mereka yang mampu untuk bekerja, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (yang artinya); “Maka berjalanlah ke segala penjuru, serta makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” (Surah al-Mulk: 15).
“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amal-kan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya.” (Surah Al-Hasyr : 7).
Berdasarkan prinsip Islam, segalanya mestilah disediakan secara terbaik. Antaranya, perkitaran yang baik perlu disediakan untuk pendapatan tinggi, kemahiran tinggi, dan produktiviti tinggi. Suasana ini hanya boleh dicapai apabila Malaysia tidak lagi bergantung kepada buruh asing. Selain itu, hampir semua sektor di Malaysia seolah-olah tidak menghargai kemahiran, tidak membangunkan teknologi baru dan tidak berminat dalam inovasi. Mereka hanya mahu jalan pintas dengan mengambil pekerja asing kurang mahir atas alasan boleh dibayar gaji rendah serta tanpa perlu menyediakan perlindungan pekerjaan yang lengkap, kononnya untuk menjimatkan.
Namun demikian, pada masa yang sama, kita perlu sedar bahawa pihak industri juga mengalami tekanan kerana tidak mendapat gambaran sebenar. Malah, di Malaysia, amat sedikit usaha dilaksanakan ke arah penyelidikan dan pembangunan (R&D). Dengan kebergantungan tinggi buruh asing ditambah sikap kronisme, kapitalisme yang membarah menyebabkan isu ini semakin buruk.
Prinsip Keadilan Teras Kemajuan
Dalam usaha mengatasi cabaran bagi menyediakan peluang pekerjaan yang sewajarnya, kita perlu memusatkan tenaga untuk menjamin masa depan rakyat Malaysia khususnya melibatkan golongan muda dengan usaha untuk menghapuskan kronisme. Sama ada kita sedar atau tidak, kebanjiran tenaga import atau pekerja asing kurang mahir, khususnya untuk sektor perkhidmatan seperti pembinaan, hotel dan restoran, serta peruncitan seperti kedai serbaneka turut menjejaskan peluang pekerjaan rakyat Malaysia.
Sikap tamak kronisme ini seharusnya ditamatkan agar kebocoran wang ini dapat disalurkan ke arah sokongan kewangan untuk majikan dan pekerja tempatan terutamanya dalam proses pengeluaran yang lebih canggih dan berdaya saing melalui penambahbaikan sistem automasi yang mampu meningkatkan jumlah pengeluaran keseluruhan bagi sesebuah perusahaan.
Prinsip keadilan diterapkan dalam penetapan gaji minima serendah RM 1,500 mampu dicapai bagi pekerja sektor perkhidmatan buruh ini, lantas menarik minat rakyat berkhidmat dalam sektor perkhidmataan ini. Secara umumnya, kita akan dapat melonjakkan tangga gaji di semua peringkat dan menjamin taraf hidup yang lebih baik khususnya hasrat untuk mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi dapat direalisasikan.
Disamping itu, pemilikan sesebuah perniagaan mesti di kawal melalui penguatkuasaan berkesan agar rakyat Malaysia sahaja dibenarkan untuk menjalankan perniagaan kecil, sederhana mahu pun berskala besar dalam negara. Pengagihan dana awam khususnya dalam melahirkan lebih ramai usahawan harus diperkemaskan agar seimbang khususnya melibatkan industri kecil dan sederhana tidak dikuasai oleh rakyat asing.
Negeri Perak Perlu Memacu Perkembangan Ekonomi Positif
Bagi negeri Perak khasnya, pembinaan segera Lapangan Terbang Antarabangsa perlu disegerakan sebagai salah satu daya penarik utama bagi pemain industri yang semakin berkembang pesat. Laluan ETS dan Lebuhraya PLUS perlu diperkukuh dengan lapangan terbang agar semua laluan pengangkutan termasuk udara, darat dan lautan diintegrasikan bagi memudahkan proses import dan eksport produk berpusat di negeri Perak seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Perkembangan Industri pembuatan dengan kemasukan syarikat gergasi luar negara seperti FINISAR, BROMMA, Teleflex Medical, PROTON–Geely serta industri pelancongan dengan beroperasinya Taman Tema Animasi (MAPS), Lost World of Tambun dan seumpamanya hendaklah diperkasakan. Malahan industri pendidikan juga sedang pesat berkembang melalui pertumbuhan berbagai IPTA/IPTS turut menyumbang kepada faktor terpenting memacu ekonomi positif di negeri Perak.
Dalam masa yang sama sokongan terhadap latihan kemajuan kerjaya tidak dikesampingkan agar ianya selari dengan perkembangan semasa. Pihak kami amat berkeyakinan bahawa penumpuan terhadap usaha melahirkan modal insan berkualiti melalui penyediaan peluang peningkatan pendidikan dan kemahiran mampu melonjakkan kualiti masyarakat seterusnya membudayakan ekonomi berasaskan pengetahuan atau lebih dikenali sebagai k-economy.
Oleh yang demikian, keutamaan penumpuan terhadap penyelesaian isu pengangguran dikalangan siswazah hendaklah merangkumi semua aspek kehidupan dan hendaklah selari dengan kemajuan pesat negara Malaysia agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Sewajarnya setiap potensi dimanfaatkan sebagai kekuatan dan peluang dengan siswazah mencorak masa depan negara Malaysia tercinta.
Salam Siswazah Unggul membangun Malaysia Maju.
"SEJAHTERA BERSAMA ISLAM"
Penulis Merupakan, Pengarah Jabatan Pembangunan Mahasiswa Dewan Pemuda PAS Malaysia, merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak dan Ketua Pemuda PAS Tambun.
#HafezSabri
#Malaysia
#Perak
#Tambun
Post a Comment