5 perkara utama tentang #Bajet2018 Yang Perlu anda peduli
Bajet Adalah Pilihan.
Ekonomi sangat berkait rapat dengan pilihan.
Setiap hasil dan sumber pendapatan perlu diurus dengan baik, bagi memenuhi keperluan dan kehendak yang tidak berkesudahan.
Di sinilah pentingnya kebijaksanaan seseorang pemimpin, dalam mengatur dan mengurus kewangan dengan penuh amanah dan berkebajikan.
Instrumen paling utama dalam aspek pengurusan kewangan adalah belanjawan. Ia merupakan dokumen yang menggariskan matlamat dan objektif yang ingin dicapai, serta memperincikan sumber pendapatan dan anggaran perbelanjaan bagi tempoh setahun yang mendatang.
Prinsipnya adalah sama tanpa mengira samada anda seorang Perdana Menteri yang mengetuai sebuah kerajaan atau seorang bapa yang mengetuai sebuah keluarga, iaitu “Berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, bukan mengikut kemahuan”.
Apa Yang Perlu Dipeduli?
Mengikuti pembentangan bajet pada setiap tahun juga merupakan suatu pilihan.
Di hujung pembentangan, ramai yang ingin tahu apakah bentuk bantuan, insentif dan projek yang diumumkan oleh kerajaan. Ramai juga yang ingin tahu apakah pengecualian cukai dan cukai baru yang akan diperkenalkan oleh kerajaan.
Namun ramai juga yang memilih untuk tidak mengambil tahu, mungkin kerana hidupnya sudah cukup selesa, ataupun merasakan bajet yang dibentangkan tidak memberi apa-apa kesan kepada kehidupan mereka.
Sewajarnya rakyat tidak melepaskan peluang setahun sekali ini untuk menilai kesungguhan kerajaan dalam mengurus kewangan negara. Antara perkara utama yang perlu ditanya oleh segenap rakyat terhadap bajet yang dibentangkan adalah:
1. Apakah matlamat dan objektif yang ingin dicapai? Kerajaan perlu memilih untuk bersikap ‘populis’ bagi menghadapi PRU14 seperti BR1M, ataupun mengutamakan agenda ‘konstruktif’ yang selari dengan maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
2. Dari mana kerajaan memperolehi pendapatan? Kerajaan dijangka akan terus bergantung kepada kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mencecah lebih RM40 bilion, di samping meningkatkan kecekapan LHDN untuk memungut cukai pendapatan dan perniagaan mencecah lebih RM120 bilion.
3. Ke mana kerajaan memperuntukkan perbelanjaan? Kerajaan terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi, mencecah 80% daripada keseluruhan bajet, berbanding perbelanjaan pembangunan sekitar 20%. Pelbagai imbuhan, pemberian dan insentif akan diberi kepada segenap lapisan masyarakat, samada di bandar dan luar bandar, tua mahupun muda, bagi menarik sokongan rakyat kepada kerajaan menjelang PRU14 akan datang.
4. Apakah kesan belanjawan terhadap ekonomi negara? Kerajaan tiada pilihan selain perlu berjimat cermat bagi mengurangkan kadar defisit kepada paras 3.0% dan kadar hutang kerajaan yang menghampiri paras 55% KDNK. Di samping itu, usaha memerangi rasuah dan ketirisan perlu dipertingkatkan agar kekayaan negara tidak hanya berlegar di kalangan atasan sahaja.
5. Adakah belanjawan membela nasib rakyat? Kos sara hidup dan harga rumah yang tinggi tetap menjadi rungutan rakyat dan anak muda. Di samping pemberian ‘one-off’ yang bersifat sementara, kerajaan perlu merangka pendekatan yang holistik bagi menyelesaikan belenggu yang membebankan rakyat, di samping terus menjadi pembela terhadap golongan miskin dan kurang upaya di dalam negara.
Di samping persoalan di atas, penilaian perlu dibuat terhadap kerangka penyelesaian ekonomi yang dikemukakan oleh pihak bukan kerajaan.
PAS terlebih dahulu telah mengemukakan kerangka dasar penyelesaian masalah negara melalui Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), di samping saranan bajet alternatif oleh pihak Pemuda PAS yang berpandukan syariah dan berpaksikan rakyat.
Di pihak PH pula, bajet alternatif turut dikemukakan dengan pelbagai tawaran dan janji, adakalanya bersifat populis. Ironisnya, segala cadangan yang dikemukakan adalah untuk membaiki segala kerosakan yang wujud sejak pentadbiran mantan Perdana Menteri, yang kini menjadi Pengerusi pakatan itu sendiri.
Berbalik kepada Bajet 2018, ianya merupakan bajet terakhir menjelang pilihanraya umum ke 14. Justeru seluruh rakyat dan anak muda diseru agar lebih peka terhadap segala tawaran dan janji kerajaan di dalam Bajet 2018. Ini kerana bajet sebelum pilihanraya seringkali bersifat manis, namun selepas pilihanraya akan bertukar sebaliknya.
Di sinilah pentingnya kita mengambil peduli terhadap janji yang ditawarkan, dan membuat pilihan dengan mengambil peduli terhadap kebajikan kita di masa hadapan.
Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM
Post a Comment