Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Agenda Memperkasakan Syariah Melalui RUU355 Diteruskan



AGENDA MEMPERKASAKAN SYARIAH MELALUI RUU355 DITERUSKAN

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat usaha pihak-pihak penentang agenda memperkasakan syariah di Malaysia dengan memanipulasikan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Dato Dr Mahfodz Mohamed, sebagai golongan yang terdesak dan akan terperangkap dengan fitnah yang mereka cipta sendiri. Fitnah tersebut semakin menjelikkan bila keluar print screen palsu, memaparkan perbualan melalui mesej whatsapp antara Dato Dr Mahfodz dengan seorang lain yang digambarkan sebagai pemimpin Pemuda PAS Malaysia. PPP yakin fitnah kotor ini tidak akan memggugat pendirian PAS yang akan terus berusaha memperkasakan syariah.





Bertentangan dengan fitnah tersebut, PPP melihat usaha PAS untuk memperkasakan syariah termasuk melalui RUU355 ini terus memperlihatkan kemajuan pesat. Hasil usaha semua pihak yang mencintai syariah, yang terbaru telah ditubuhkan Jawatan Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) ke arah mengusahakan agenda ini secara lebih giat dan kemas. Dengan penubuhan JKMMS ini, usaha untuk melaksanakan agenda pemerkasaan syariah pasca kelulusan RUU355 nanti akan lebih tersusun kerana ia memerlukan penglibatan pihak-pihak bukan politik.

Penubuhan JKMMS ini merupakan antara kemajuan besar kepada usaha mendaulatkan syariah dan memperkasakan mahkamah syariah di Malaysia. Secara langsung bagi mereka yang tegar menentang syariah, ia merupakan mimpi ngeri bagi mereka. Salah satu kluster di bawah JKMMS ini adalah berkaitan dengan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dikenali Akta 355 ini. Oleh yang demikian, anggapan pihak penentang usaha meminda akta ini, bahawa usaha PAS sebelum ini telah gagal amatlah jauh tersasar.

Berdasarkan pemerhatian PPP, usaha PAS membuat pindaan Akta 355 ini di parlimen sentiasa berkembang maju. Pada Sesi Parlimen akhir 2016, Presiden PAS telah kemukakan usul pindaan ini untuk kali pertama dan kemudian diikuti dengan penjelasan secara lebih terperinci usul ini pada Sesi Parlimen Mac 2017. Seterusnya Setiausaha Agung PAS yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato Takiuddin Hassan, telah melanjutkan penghujahan menyokong usul pindaan tersebut. Pembentangan usul pindaan Akta 355 ini oleh PAS, menjadi satu batu tanda yang besar kepada usaha memperkasa syariah di Malaysia.

Sesi seterusnya berkaitan dengan usul pindaan ini ialah perbahasan usul di parlimen oleh Ahli-ahli Dewan. Sepatutnya perbahasan ini boleh dibawa pada Sesi Parlimen Jun 2017 yang lepas, tetapi disebabkan pembawa usul, iaitu Presiden PAS baru lepas menjalani pembedahan jantung, beliau tidak dapat hadir ke parlimen untuk mendengar perbahasan. Perbahasan tentang RUU355 ini berkemungkinan besar akan diteruskan pada Sesi Parlimen kali ini yang akan bermula Oktober, terutamanya selepas urusan Bajet 2018 selesai.

Oleh yang demikian, PPP melihat tiada pengunduran ke belakang oleh PAS berkaitan agenda RUU355 ini. Kenyataan yang dibuat oleh Dato Dr Mahfodz tersebut adalah berdasarkan jangkaan PAS, bahawa paling awal kemungkinan parlimen dibubar adalah pada November 2017, sebaik sahaja selepas Bajet 2017 dibentangkan. Jika jangkaan pembubaran parlimen itu benar-benar berlaku pada November, sememangnya agenda berkaitan pindaan Akta 355 ini oleh PAS perlu dibawa selepas PRU14. Jadi usaha pihak-pihak tertentu memanipulasikan kenyataan Dato Dr Mahfodz memang menggambarkan mereka sangat tertekan dan terdesak.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP

17 Oktober 2017
26 Muharram 1439