Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Bajet 2018: Ekonomi Malaysia amat berisiko



Menjelang pembentangan Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 27 Oktober 2017 nanti, Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat telah membuat analisa bagi mengunjurkan keadaaan pasaran dan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2017.

Berdasarkan penelitian yang dilakukan terhadap laporan-laporan para firma kajian dan agensi-agensi tempatan dan antarabangsa serta pencerapan terhadap angka-angka ekonomi dan kecenderungan semasa, kami mengunjurkan ekonomi Malaysia boleh tumbuh melebihi tahap 5% bagi tahun 2017. Walaupun unjuran ini agak sedikit optimistik, namun ianya masih konservatif berbanding unjuran-unjuran yang dilakukan oleh pihak-pihak lain.

Antaranya adalah oleh Standard Chartered Global Research yang mengunjurkan pertumbuhan 5.4%, sepertimana yang dilaporkan oleh harian The Edge pada 27 September 2017. Manakala UOB Global Economics & Market Research mengunjurkan pertumbuhan 5.2% (The Edge, 3 Oktober 2017). Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula menjangkakan ekonomi Malaysia tumbuh dalam kecenderungan menaik pada 4.8% manakala Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula mengunjurkan pertumbuhan pada 4.8%, sebagaimana laporan mereka pada 26 Julai 2017.

Unjuran pada tahap lebih 5% ini adalah berdasarkan beberapa faktor yang telah dianalisa. Antaranya adalah faktor nilai Ringgit yang dilihat semakin stabil berbanding dolar Amerika (USD). Mengikut laporan MIER Ringgit telah mengukuh sepanjang tahun 2017 sehingga bulan Mei sebanyak 4.9%. Ini disokong oleh tindakan oleh Bank Negara Malaysia bagi menyokong nilai Ringgit antaranya keperluan baru kepada semua pengekspot bahawa 75% daripada hasil pendapatan mereka harus disimpan dalam matawang Ringgit. Pada tahap nilai Ringgit sekarang dan suasana ekonomi semasa, kami berpandangan ianya adalah dalam julat optimum bagi mengimbangi dagangan Malaysia. Pada kadar semasa sepanjang Oktober 2017, Ringgit didagangkan dalam julat RM4.22-4.24 berbanding USD.

Faktor kedua adalah sektor pembinaan yang dijangka akan kekal tumbuh sehingga akhir tahun 2017. Dalam laporan suku ke 2 yang lalu, sektor pembinaan tumbuh pada 8.3%, yang mana merupakan penyumbang utama prestasi ekonomi Malaysia untuk tempoh sama. Oleh kerana ini merupakan tempoh untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14 (PRU14) maka kami menjangkakan sektor pembinaan terus berkembang pada julat kadar sekarang sehingga sekurang-kurangnya suku pertama 2018. Kerajaan akan menggunakan tempoh ini bagi memenuhi janji-janji pilihanraya, yang penting untuk mengekalkan kemenangan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU14 nanti.

Faktor ketiga yang juga mampu menyokong pertumbuhan lebih 5% Malaysia adalah penggunaan domestik. Penggunaan kekal antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Bagi tahun 2016 ianya tumbuh pada kadar 6%. Untuk tahun ini MIER menjangkakan penggunaan domestik akan tumbuh pada 4.6%. Ini disokong oleh kajian Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang dilakukan oleh MIER menunjukkan keyakinan pengguna yang meningkat walaupun masih dalam sentiment berhati-hati.

Sentimen berhati-hati ini dicetus atas asas Indeks Harga Pengguna (CPI) terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik, yang mana menunjukkan kecenderungan menaik. Ini berdasarkan angka bulan Ogos 2017 yang mana CPI tahunan naik 3.7%, yang mana pengangkutan adalah penyumbang utama yang terus meningkat pada 11.7%. Ini menyebabkan kadar inflasi juga terus naik sebanyak 2.4% dalam tempoh yang sama. Semua ini akan memberi tekanan inflasi kepada potensi pertumbuhan ekonomi jika tidak diurus dengan berhemah oleh kerajaan.

Walaupun kami mengunjurkan pertumbuhan positif bagi 2017, namun secara keseluruhan ekonomi Malaysia masih berhadapaan dengan faktor risiko yang tinggi yang memerlukan perubahan struktur yang drastik. Sebab utama yang menyumbang kepada risiko ini adalah kepergantungan tinggi ekonomi Malaysia terhadap sektor pembinaan. Sebagaimana ulasan kami terhadap laporan prestasi ekonomi untuk suku ke 2 yang lalu, sektor pembinaan adalah tidak mapan dan tidak seharusnya menjadi tunggak utama ekonomi Malaysia. Jesteru, bagi mengawal dan mengurangkan risiko keruntuhan, struktur ekonomi perlu diubah.

Faktor risiko tinggi juga disebabkan oleh aliran keluar modal asing. Berdasarkan laporan terbaru oleh MIDF Amanah Investment Bank Berhad, pelabur asing telah menjual sebanyak RM967.3 juta dana dalam minggu pertama Oktober 2017. Ini merupakan penjualan dana oleh pelabur asing yang berlaku secara berterusan selama lapan hari dalam minggu tersebut, tempoh yang paling panjang semenjak bulan Disember 2016. Dengan itu jumlah terkumpul penjualan bagi tahun ini adalah RM9.61 billion. Risiko aliran keluar modal ini disokong oleh laporan oleh Moody’s Investor Services bahawa Malaysia adalah antara negara yang amat terdedah kepada risiko aliran keluar modal. Ini disebabkan hutang negara yang amat tinggi untuk menampung akaun semasa negara dan pembayaran balik hutang luar. Berdasarkan risiko ini penarafan Malaysia adalah A3 Stable.

Dengan risiko aliran keluar modal yang meningkat ini, ianya juga boleh mengherot aliran tunai kerajaan disebabkan peningkatan mendadak pengeluaran bon yang dijamin kerajaan. Hasil kajian kami jumlah nilai bon yang dijamin kerajaan akan meningkat kepada RM40 billion pada akhir tahun 2017, naik mendadak daripada RM27.2 billion dalam tahun 2016. Oleh itu, walaupun kami menjangkakan ekonomi boleh tumbuh pada kadar yang sihat namun pada keseluruhannya suasana ekonomi adalah masih amat berisiko.

Sekian.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi,
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

21 Muharram 1439H
11 Oktober 2017.