Bajet 2018: Kurangkan Kos Pengambilan Pembantu Rumah
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri berkata langkah tersebut penting untuk meringankan beban khususnya mereka yang memerlukan pembantu rumah.
"Diharap prosedur dan peraturan baharu yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mengurangkan beban orang ramai, termasuk kakitangan kerajaan terutamanya mereka yang mempunyai ramai anak dan memerlukan pembantu rumah," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.
Beliau berharap Bajet 2018 akan memberi keutamaan kepada kepolisan moden khususnya berkaitan penambahan aset yang sesuai dengan tuntutan semasa dalam usaha menangani jenayah siber dan judi dalam talian.
Beliau berkata kebajikan pegawai dan anggota jabatan serta agensi di bawah KDN termasuk kuarters anggota polis perlu ditambahbaik.
"Kita mahukan isu-isu berkaitan dan soal perbelanjaan operasi kementerian, agensi dan jabatan dipertingkatkan," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, akan membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Ahmad Zahid dalam pada itu meminta warga KDN agar memupuk integriti dan menjaga imej organisasi masing-masing.
"Kita sebagai penguat kuasa perundangan, jika kita menggadaikan integriti kita dengan berkompromi dan bersekongkol dengan penjenayah, integriti kita akan hancur kerana nila setitik seluruh imej organisasi akan terjejas.
"Jangan sesiapa dalam kalangan kita yang diambil tindakan berasa diri dizalimi," katanya.-- BERNAMA
Post a Comment