GST: Kutipan RM29.81 bilion setakat 30 September 2017
KUALA LUMPUR: Jumlah hasil bersih kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi tempoh 1 Januari 2017 hingga 30 September 2017 adalah sebanyak RM29.81 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, berdasarkan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2017, unjuran untuk tahun ini adalah sebanyak RM40 billion.
Jelasnya, usaha mengutip GST berdepan pelbagai cabaran namun usaha menambah kefahaman peniaga dan rakyat kini berada pada tahap optimum.
"Aduan yang diterima Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengalami pengurangan bagi tahun 2016 berbanding 2015.
"Untuk tahun 2016, 1,235 aduan sahaja berbanding tahun 2015 yang mencatatkan sebanyak 6,830 aduan.
"Jumlah aduan dilihat semakin berkurangan bagi tahun 2017 sehingga 24 Julai lalu, hanya 185 aduan diterima.
"Peningkatan berterusan dari segi pemahaman dan penerimaan GST dalam kalangan masyarakat disumbangkan oleh program publisiti dan kesedaran yang dijalankan secara inklusif oleh kerajaan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Jelas beliau lagi, pelbagai inisiatif digerakkan bagi memastikan pengikraran dibuat dengan maklumat yang lengkap dan tepat serta pembayaran dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.--AstroAwani
Post a Comment