Muslim Care ke Bangladesh, bantu pelarian Rohingya
Oleh: Yusmizal Dolah Aling dan Fairus Anuar
am@hmetro.com.my
MUSLIM Care Malaysia Society (Muslim Care) berlepas ke Dhaka, Bangladesh malam ini untuk misi bantuan kepada pelarian Rohingya di sana.
Presidennya Zulkifli Wahijan berkata, sukarelawan yang disertai Exco Muslim Care, empat doktor itu akan ke beberapa kem dan kampung di Cox's Bazar.
Turut sama artis tanah air, Heliza Helmi serta beberapa aktivis kemanusiaan yang akan berada di sana sehingga Isnin depan.
Zulkifli berkata, 20 telaga tiub dijangka dibina Muslim Care untuk digunakan lebih 200,000 pelarian di Kem Balukhali dan Kutupalong di Cox's Bazar Bangladesh.
Katanya, hasil tinjauan lapangan di kedua-dua kem bulan lalu, pihaknya mendapati wujud keperluan mendesak untuk menyegerakan pembinaan telaga tiub serta klinik ketika pelarian memenuhi kem penempatan bagi mendapatkan perlindungan.
Menurutnya, Muslim Care membawa pakar bius, ortopedik, paediatrik dan kecemasan untuk memberi rawatan di kedua-dua kem berkenaan.
"Dengan nisbah seorang doktor akan merawat sekurang-kurangnya 70 pesakit, kita berharap ia dapat membantu pelarian mendapatkan rawatan sewajarnya kerana keadaan yang begitu mendesak," katanya.
Zulkifli berkata, misi kali ini mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Masjid Asy Syakirin Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang mengumpul derma untuk disumbangkan kepada saudara seagama.
Sementara itu, mengulas misi berkenaan, Zulkifli berkata, ketika ini segala persiapan berjalan lancar dan pihaknya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Bangladesh untuk membina lima telaga tiub, hujung bulan ini.
"Menerusi rakan gabungan NGO di sana, kita mengikuti prosedur yang ditetapkan dan berharap bakinya akan dibina dengan kadar segera untuk kegunaan pelarian di dalam kem.
"Kita juga memberikan fokus kepada kanak-kanak selain pengedaran pek makanan sebanyak 1,200 termasuk sebahagiannya yang sudah sedia untuk dimakan.
"Anggaran kasar keseluruhan kos yang kita akan salurkan nanti sebanyak RM250,000 termasuk kos operasi. Kita juga akan mewakafkan al-Quran di dalam misi ini dan saya mengharapkan doa kita semua agar misi ini membawa manfaat kepada golongan sasar," katanya.
Justeru beliau mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia untuk melancarkan urusan misi kali ini melalui akaun Muslim Care 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau hubungi Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif di talian 0126935938
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/277149/muslim-care-ke-bangladesh-bantu-pelarian-rohingya
Post a Comment