Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Rumah Mampu Milik: Kerajaan Masih gagal selesaikan?



Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) mendapati bahawa masalah Rumah Mampu Milik (RMM) masih lagi menjadi kebimbangan umum bagi rakyat Malaysia dan menjadi sebahagian daripada tuntutan. Ini berdasarkan kajian umum yang telah dilakukan oleh LEPU bagi memahami situasi permasalahan tersebut.

Masalah Yang Tidak Berkesudahan

Hasil semakan literatur, Malaysia umumnya masih memerlukan 653,000 buah RMM di antara tahun 2016 – 2020, sebagaimana yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11). Ini bersamaaan 130,000 buah RMM perlu dibina setahun. Walau bagaimana pun bekalan RMM adalah tidak memenuhi permintaan pasaran Malaysia. Berdasarkan kajian Khazanah Research Institute (KRI), purata hanya 60,000 buah setahun RMM yang dilancarkan untuk jualan untuk lima tahun kebelakang ini. Hanya hampir 20% daripada bekalan rumah dipasaran adalah dalam kategori RMM.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan inisiatif-inisiatif tertentu seperti PR1MA, PPA1M dan My Beautiful Home, ianya masih gagal menyelesaikan masalah RMM. Hasil kajian pemerhatian LEPU mendapati punca utama adalah masalah mendapatkan pembiayaan. Berdasarkan laporan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda), 70% pembeli gagal memperolehi pembiayaan bank. Ini disokong oleh data kajian juga oleh KRI bahawa nisbah harga rumah kepada purata pendapatan isi rumah Malaysia adalah 4.4 kali, berbanding 3 kali yang ditetapkan oleh United Nations Centre for Human Settlement (UNCHS). Ini bermakna purata harga rumah di Malaysia adalah amat tidak mampu milik.

Kerajaan perlu melakukan transformasi drastik bagi menyelesaikan permasalahan ini. Sektor perumahan adalah amat penting, bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan sosial rakyat malah pertumbuhan sektor perumahan mampu memberi kesan pekali yang tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Jesteru, LEPU merasakan satu alternatif yang tuntas perlu bagi membantu rakyat memiliki rumah. PAS telah pun mengesyorkan alternatif yang mantap bagi menyelesaikan masalah ini melalui inisiatif Dokumen Hijau (DH) yang mana antara komponen pentingnya adalah RMM. Konsep yang PAS utarakan adalah melalui pembiayaan Kaedah Sukuk Al Ijarah, yang mampu menyekesaikan isu RMM.

*Kaedah Sukuk Al Ijarah Melalui Perkongsian*

Kaedah ini adalah mampu bagi menyelesaikan masalah orang ramai dalam mendapatkan pembiayaan. Kaedah ini secara asasnya menekankan kepada skim pemilikan secara berperingkat yang boleh diuruskan oleh pihak lantikan kerajaan mahupun pihak bank komersil. Pembeli rumah pertama membeli rumah tersebut secara berperingkat mengikut kemampuannya melalui pembelian sukuk. Sementara beliau mencapai pemilikan 100%, hak milik rumah dikongsi dengan pembeli lain daripada kalangan pelabur samada secara individu ataupun organisasi. Pemilik perlu membayar sewa rumah tersebut kepada pelabur berdasarkan kadar sewaan pasaran mengikut peratus pemilikan masing-masing. Sebagai contoh, jika pemilik mampu memiliki hanya 20% daripada nilai rumah tersebut, kadar sewaan yang dibayar kepada para pelabur ialah 80% daripada kadar pasaran. Kadar pemilikan bergantung kepada nilai sukuk yang diterbitkan oleh pihak bank berkenaan. Contohnya sebuah rumah berharga RM500,000 mungkin boleh dipecahkan kepada 10 sukuk setiap satunya bernilai RM50,000. Baki 9 Sukuk lagi ditawarkan kepada mana-mana pelabur.

Pemilik berkenaan digalakkan untuk menambah pemilikannya dengan membeli sukuk daripada mana-mana pelabur pada harga pasaran yang ditentukan pihak bank. Para pelabur hendaklah melepaskan sukuknya apabila pembeli telah bersedia untuk menambah kadar pemilikannya melalui kontrak yang patuh syariah. Melalui kaedah Sukuk Al Ijarah ini, semua pihak termasuk Pembeli, Pelabur, Bank, Pemaju dan pihak kerajaan sendiri mendapat manfaatnya. Pihak bank juga dapat jaminan bayaran kerana sebahagian besar daripada pembayaran Pihak Pembeli tidak perlu memiliki tabungan kewangan yang besar untuk membeli rumah mengikut kemampuan masing-masing. Pihak Pelabur pula mempunyai banyak peluang pelaburan dengan kos pelaburan yang rendah. Pihak bank mendapat manfaat dari segi risiko pinjaman yang rendahrumah tersebut adalah oleh para pelabur yang mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik.

Sekiranya kerajaan bersedia untuk mengatasi masalah pemilikan rumah melalui cadangan di atas, maka beberapa akta khususnya yang berkaitan dengan bilangan pemilik di dalam Kanun Tanah Negara perlu dibuat beberapa pindaan kecil. Kaedah di atas adalah langkah penyelesaian praktikal jangka masa pendek bagi mengatasi masalah pemilikan rumah pertama oleh rakyat.

Jesteru LEPU mencadangkan supaya kerajaan menimbang dan meneliti altrnatif DH ini bagi membantu rakyat memiliki rumah. Kepentingan rakyat adalah keutamaan yang mana secara tidak langsung juga membantu pertumbuhan ekonomi.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU)

8 Muharram 1439H
29 September 2017