Sakaran: Madrasah diharap mampu melahirkan pelajar cemerlang
KOTA KINABALU: Setiap madrasah diharap dapat melahirkan pelajar cemerlang, mampu bersaing dalam masyarakat kompetitif serta menyumbang kepada pembangunan bangsa dan agama selain memiliki akhlak yang tinggi dalam mencapai kesempurnaan ilmu, iman, amal, dakwah serta istiqmah.
Madrasah akan menjadi contoh bagaimana sesebuah institusi pendidikan Islam dengan diurus dan ditadbir dengan baik.
Demikian menurut Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Tun Sakaran Dandai, ketika dikunjungi oleh seramai 22 daripada Madrasah Ubaidillah Aq-Zika (MUAZ) Bandar Sri Indah Tawau di pejabatnya di Menara USIA, Penthouse, Level 11, Tower D, 1Borneo, Jalan Sulaman Kota Kinabalu, pada Selasa lepas.
Katanya, pengurusan madrasah yang baik dengan tenaga pengajar yang berketrampilan ianya dapat melahirkan pelajar yang cemerlang.
‘Oleh itu setiap mereka yang terlibat dalam mengendalikan madrasah ini hendaklah memberi tumpuan, keutamaan kepada mentertib serta mentarbiyah pelajarnya dengan displin dan akhlak terpuji.’
Sakaran juga menjelaskan madrasah hendaklah meningkatkan kesederan bahawa pengorbanan, kegigihan dan ketaqwaan adalah kunci kejayaan.
‘Misi untuk mendidik anak bangsa dan mendaulatkan agama melalui pendidikan adalah tugas suci yang berterusan.’
Beliau juga berharap agar setiap madrasah dapat mendidik umat Islam agar mengamalkan al-Quran dengan lebih sempurna dan mampu menjadi tenaga pengajar al-Quran dalam masyarakat agar dapat membantu kerajaan dalam menangani gejala sosial di kalangan masyarakat.
‘Madrasah harus terus menyesuaikan program pendidikan madrasah agar ia menyajikan matapelajaran yang bersesuaian dengan membuka lebih banyak laluan pendidikan kepada pelajar untuk mempersiapkan diri mereka supaya dapat merebut peluang-peluang baru yang akan wujud pada masa depan.’
Beliau percaya jika setiap madrasah dapat melahirkan pelajar berilmu, pasti mereka mampu berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Sementara itu Pengerusi Lembaga Pengurusan MUAZ, Ustaz Maznan Omar menjelaskan kewujudan madrasahnya bukan hendak bersaing dengan mana-mana madrasah tetapi diharap dapat membantu dan melahirkan pelajar berdisplin dan cemerlang terutama dalam bidang keilmuan.
Katanya, madrasah MUAZ komited dalam melahirkan generasi moden dengan sistem pendidikan berteraskan al-Quran dan Sunnah ke arah murabbi cemerlang dunia dan akhirat.
‘Kita hendak mereka berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa selain melahirkan agamawan yang menjadi pelita kepada masyarakat.’
Menurut Maznan MUAZ akan cuba menjadi institusi yang disegani dan mampu melahirkan pelajar yang mentranformasikan masyarakat dan menjadi kebanggan negara.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Setiausaha Agung dan Penolong Setiausaha Agung Usia, Datuk Hamzah Datuk Mohd. Zakaria dan Datuk Matin Datuk Pandin serta Bendahari Agung Usia, Datuk Arshad Idris.
Post a Comment