Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

SPR terima 229,919 permohonan pendaftaran pemilih baharu




PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 229,919 permohonan pendaftaran pemilih baharu dan 65,083 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi sepanjang tempoh pendaftaran pemilih suku ketiga 2017.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku ketiga 2017 akan dipamerkan selama 14 hari bermula esok hingga 6 Nov di 960 tempat pameran di seluruh negara.

Sepanjang tempoh itu, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi pada Julai, Ogos dan September tahun ini dinasihatkan membuat semakan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata RDPT akan dipamerkan di 15 pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos berkomputer (437), kompleks/pejabat kerajaan (87), pejabat daerah/tanah (166), majlis daerah/perbandaran (82), dewan serba guna/rukun tetangga/balai raya/dewan (158) dan lain-lain tempat (16).

Katanya jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai dalam RDPT, pemohon boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran RDPT.

Bagi pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu di sesuatu bahagian pilihan raya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

"Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 penama selaras dengan sub peraturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. Bantahan hendaklah dikemukakan kepadaPendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran," katanya.

Abdul Ghani berkata SPR juga mempamerkan senarai nama pemilih yang dikeluarkan daripada Daftar Pemilih (mereka yang didapati tidak berhak untuk terus kekal dalam daftar pemilih atas sebab-sebab antaranya telah meninggal dunia atau lucut hak warganegara) sepanjang tempoh pameran RDPT.

"SPR menyeru kepada semua pemohon yang telah berdaftar dalam tempoh 1 Julai hingga 30 Sept tahun ini supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka di tempat-tempat yang dinyatakan," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT suku ketiga 2016 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui telefon 03-88927000 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar My SPR Semak.-- BERNAMA