14.6 juta pemilih berdaftar setakat Jun 2017
KUALA LUMPUR – Sejumlah 14,622,881 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata jumlah warganegara berumur 21 tahun dan ke atas yang layak mendaftar tetapi belum mendaftar sebagai pemilih adalah 3,797,785 orang bagi tempoh sama.
“Jumlah pemilih baharu yang telah didaftarkan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2017 adalah 409,564 orang manakala jumlah pendaftaran tukar alamat bagi tempoh sama melibatkan 152,832 orang," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Sehingga 30 September lepas, SPR telah melantik 205 penolong pendaftar pemilih bagi membantu urusan pendaftaran.
Beliau berkata urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu kini sedang disiapkan sebelum tempoh dua tahun kajian tamat pada 14 September depan, sebelum laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibentangkan di Dewan Rakyat.–Bernama
Post a Comment