Anggota DAP Minta ROS Siasat Pemilihan Semula CEC
Wakil kumpulan itu, L. Pannerselvam berkata proses kiraan undi yang dibuat secara tertutup tanpa sebarang pemerhati dan wakil calon dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya manipulasi terhadap kertas undi.
"Sebagai contoh, jika perwakilan mahu mengundi calon nombor satu, mereka hanya perlu menulis nombor calon pada kertas undi dan bukan nama. Ini dikhuatiri boleh disalah guna pihak tertentu untuk menukar nombor itu kepada 11, 21 dan seterusnya.
"Kami amat tidak bersetuju dengan sistem pengundian sebegini dan disebabkan itu aduan dikemukakan kepada ROS untuk menggesa jabatan berkenaan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas menghantar aduan itu kepada ROS, di sini, hari ini.
Pannerselvam, yang juga bekas timbalan pengerusi DAP Taman Ehsan, Klang mendakwa tindakan firma audit bebas, Grant Thornton, yang dilantik oleh DAP bagi menguruskan semua aspek berkaitan pemilihan semula CEC, tidak membenarkan mana-mana wakil calon bertanding memerhati proses kiraan undi, dilihat seperti cuba menyembunyikan 'sesuatu'.
Katanya DAP sepatutnya membenarkan firma berkenaan mengizinkan wakil calon untuk memerhati sebarang proses kiraan undi untuk membuktikan ketelusannya.
Dalam pemilihan semula pada 12 Nov lepas, yang diadakan susulan arahan ROS pada 17 Julai supaya DAP mengadakan semula pemilihan CEC, gandingan ayah-anak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng kekal menganggotai CEC selepas mendapat antara undi terbanyak.
Kit Siang, selaku pemimpin veteran DAP memperoleh undi terbanyak iaitu 1,199 undi sementara Guan Eng memperoleh 1,180 undi dan kekal sebagai setiausaha agung parti.
Turut kekal menganggotai CEC ialah anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang menerima undi kedua terbanyak iaitu 1,198.-- BERNAMA
Post a Comment