Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Apakah Amanah Akan Pertahan Ketua Wanitanya Dalam Isu Ateisme Setelah Dihentam Oleh DAP?


Oleh : Kamarul Zaman Yusoff

Dua hari lepas, saya telah mengucapkan tahniah kepada Ketua Angkatan Wanita (AWAN) AMANAH,  Dr Siti Mariah Mahmud, di atas ucapan berani beliau di Parlimen mengenai ancaman ateisme di Malaysia.

Terdapat dua perkara utama yang dibangkitkan oleh Dr Siti Mariah di Parlimen.

Perkara pertama adalah dalam konteks kemurtadan di mana Dr Siti Mariah menyatakan beliau tahu bahawa kebanyakan yang terlibat dengan ateisme ini adalah anak-anak muda Melayu yang dilihat sebagai sangat menggusarkan dan dirasakan sebagai satu ancaman oleh masyarakat.

Perkara kedua adalah dalam konteks penyebaran ateisme dan ketenteraman awam di mana Dr Siti Mariah menyatakan bahawa golongan murtad ini bukan sahaja setakat tidak mempercayai adanya Tuhan, tetapi tindakan mereka agak agresif, bila di dalam Facebook dan sosial media mereka menyerang agama-agama lain, juga menyerang agama Islam.

Seperti yang saya sebutkan dua hari lepas, ucapan Dr Siti Mariah di Parlimen ini, yang mendapat maklum-balas positif Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menegaskan komitmen kerajaan untuk menangani gejala ini, kelihatan agak berlawan dengan arus AMANAH dan parti-parti lain Pakatan Harapan.

Setelah dua hari menunggu, akhirnya hari ini Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, menerbitkan di dalam portal berita Malaysia Kini satu tulisannya bertajuk "With Anti-Atheism Claims, UMNO Reconstructing Constitution" yang mempertahankan golongan ateis di negara ini.

Menyatakan bahawa Datuk Dr Asyraf Wajdi bercakap karut ("talking utter rubbish"), Tony Pua berhujah bahawa tidak salah untuk sesiapa sahaja menjadi ateis kerana Perlembagaan Persekutuan kononnya sekadar menyebut mengenai hak untuk memeluk dan mengamalkan agama bukan kewajiban untuk memeluk dan mengamalkan agama.

Benar, secara tersuratnya tulisan Tony Pua ini kelihatan menyerang Datuk Dr Asyraf Wajdi kerana kenyataan beliau mengenai ateisme ini didakwa menyempitkan hak-hak beragama rakyat Malaysia. 

Bagaimanapun, disebabkan kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi mengenai ateisme ini hanyalah maklum-balas beliau ke atas kebimbangan yang disuarakan oleh Dr Siti Mariah, maka bila Tony Pua menghentam Datuk Dr Asyraf Wajdi secara automatik hentaman ini turut terkena kepada Dr Siti Mariah sama. 

Malah ada yang berspekulasi bahawa hentaman Tony Pua ini sememangnya mahu ditujukan kepada Dr Siti Mariah tetapi atas sebab tertentu diselindungkan di sebalik nama Datuk Dr Asyraf Wajdi.

Kita tunggu dan lihat sahaja apakah pendirian para pemimpin tertinggi AMANAH dalam perkara ini: Apakah mereka akan berani untuk mempertahankan Ketua Wanita mereka atau apakah mereka akan tanpa ragu-ragu terus menyokong pendirian DAP?