Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Harga Internet Di Malaysia Berpatutan, Kompetitif


KUALA LUMPUR -- Kadar harga perkhidmatan komunikasi seperti pakej jalur lebar di negara ini masih berada di tahap yang berpatutan dan kompetitif, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.

Katanya, ini berdasarkan kajian dan petunjuk daripada persatuan dan organisasi berkaitan telekomunikasi dunia seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang melakukan perbandingan dengan negara lain di rantau ini.

Menurut laporan indeks kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dikeluarkan ITU, yang antara lain mengambil kira kadar akses kepada Internet, telah meletakkan Malaysia di tangga ketiga terbaik di antara negara di Asia Tenggara.

"Di peringkat Asia Pasifik pula, Malaysia berada di tangga kesembilan dalam 34 negara anggota, perkara ini tidak mungkin dicapai sekiranya harga pakej jalur lebar di negara ini dikatakan mahal," katanya sewaktu menggulung Rang Undang-undang Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Jailani berkata Seksyen 197 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membenarkan pemberi perkhidmatan atau syarikat telekomunikasi untuk menetapkan kadar harga jalur lebar mengikut kadar pasaran.

"Bagaimanapun, mereka (syarikat telekomunikasi) perlu berlaku adil dan saksama dalam meletakkan kadar harga mengikut jumlah kos. Mereka juga tidak dibenarkan untuk meletakkan diskaun yang tidak munasabah yang boleh memudaratkan persaingan," katanya.

RUU Perbekalan untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia diluluskan Dewan dengan undian suara majoriti.-- BERNAMA