Presiden PAS Dedah Dalam Pakatan Ada Penyangak
PAS tidak boleh bersama dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan kerana di dalamnya ada “para pemimpin penyangak”, demikian dedah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, PAS yang dipimpinnya ketika ini malahan lebih selesa untuk menjadi pihak berkecuali dalam mendepani krisis keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
“PAS tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin penyangak yang dahulu.
“Bahkan pernah terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara. Di sana pula ramai kalangan tidak boleh menjadi saksi adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan PAS,” kata Abdul Hadi.
Menerusi kenyataan terbaharu beliau hari ini, Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS juga tidak boleh bersama kerajaan iaitu pihak yang sentiasa dituduh oleh pembangkang, sehinggalah dibuktikan bersihnya atau salahnya.
“Kaedah kehakiman Islam yang dipakai oleh Barat, menetapkan pihak yang dituduh masih bebas dan tidak boleh dihukum bersalah, selagi tidak dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah, bukan oleh media tanpa sempadan.
“PAS juga tidak boleh terus berpihak sebelum dibuktikan bersihnya, khususnya dalam keadaan yang bergelumang dengan salah laku dan kelemahan urus tadbir yang diwarisi sejak pemimpin yang dahulu dan terdahulu,” katanya.
Abdul Hadi turut memuji sikap ditunjukkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang mungkin tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan namun tidak menjatuhkan kerajaan menerusi cara tidak sopan.
“Beliau bersikap ikut konsep demokrasi yang sihat dengan menjadi anggota kerajaan yang memberi nasihat, dan masih ada lagi orang sepertinya di dalam kerajaan, namun tidak mahu jatuh kerajaan dengan cara tidak bersopan.
“Namun berbeza pula dengan pendekatan PAS yang lebih selesa menjadi pembangkang yang menasihat kerajaan, tetapi bersama-sama masih lagi berpegang kepada konsep nasihat,” kata Abdul Hadi lagi.
Beliau berkata, ketegasan PAS ini bukannya bersifat fanatik melulu, tetapi berpijak di atas ajaran Islam yang nyata sempurna yang tidak ada dalam ideologi atau teori ciptaan manusia.
“Maka PAS pada masa ini tidak boleh lagi terikut-ikut dengan pihak yang lain atau sekadar dipergunakan oleh pihak yang jelas berbeza dasar dan hala tujunya.
“PAS boleh bekerjasama dan bersefahaman dengan semua pihak yang tidak mengacau dasar Islam dan hala tuju wawasannya yang berkekalan,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Post a Comment