Dr Mahathir kena beri penjelasan
Oleh Rohaniza Idris
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau sedang berunding supaya anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dapat bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Bekas Naib Presiden Transparency International (IT), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, berkata Dr Mahathir mesti menjawab dakwaan itu kerana ia jelas menunjukkan beliau tidak percayakan pakatan pembangkang yang diterajuinya.
Katanya, dakwaan itu juga jelas menunjukkan Dr Mahathir tidak percaya Mukhriz boleh memenangi pilihan raya jika bertanding atas tiket pembangkang.
"Saya lihat Dr Mahathir ini sangat obsesi mahukan anaknya jadi Perdana Menteri. Jadi, beliau sanggup buat apa saja, termasuk pusingan U dan buat rundingan dengan BN untuk Mukhriz bertanding mewakili parti itu.
"Apa yang Dr Mahathir buat ini kerana beliau percaya dengan tiket UMNO dan BN saja anaknya berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Raja Petra Kamarudin dalam portal Malaysia Today, yang mendakwa Dr Mahathir sedang merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyelamatkan karier politik Mukhriz.
Antara lain, persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan atau Menteri Dalam Negeri.
Sebagai balasan, Dr Mahathir akan berhenti menyerang Najib dan akan beralih kepada BN.
Tunku Abdul Aziz, yang juga bekas Naib Pengerusi DAP, turut meminta pemimpin 'supremo' DAP, Lim Kit Siang, memberikan reaksinya berhubung dakwaan itu.
"Penjelasan Kit Siang penting untuk pengundi kerana mereka kini keliru dengan pelbagai taktik luar jangka yang dibuat Dr Mahathir, " katanya.
Pembangkang, katanya, memang sudah masak dengan cara Dr Mahathir, yang sentiasa membuat pusingan U dan mereka sebenarnya sangat berhati-hati.
"Dakwaan terhadap Dr Mahathir kali ini serius dan dipercayai beliau akan menggunakan agensi penguatkuasaan bagi membolehkan cita-cita politiknya untuk Mukhriz tercapai," katanya.
Beliau berkata, jika benar dakwaan dalam portal berkenaan, maka pihak berkaitan kena bersedia kerana Dr Mahathir ahli politik licik, yang ada banyak rancangan di luar jangkaan.--BHarian
Post a Comment