Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Guru zaman dulu tidak diseret ke mahkamah.







Oleh : Pendekar Sakti

1. “Cikgu pukullah anak saya ni ! kalau dia degil dan malas ! Jangan sampai patah riuk sudah lah cikgu !”

... begitulah nada tegas Al Marhum ayah kepada Cikgu Muharram sewaktu menyerahkan saya kepada pihak asrama Sekolah Menengah Dato’ Mahmud Mat Tanah Putih Pekan pada awal tahun 1983 yang lalu.

2. Masih segar dalam ingatan saya. Sehinggakan rakan-rakan sebaya yang juga baru daftar masuk ke Tingkatan 1 jadi terkedu. Arwah ayah memang garang dalam mendidik anak-anaknya. Namun saya bangga dengan didikan arwah ayah yang tegas begitu.

3. Hu hu , akhirnya memang saya betul-betul *“dikerjakan”* guru yang mengajar ekoran kedegilan dan kenakalan saya sendiri. *Denda paling popular ialah kena lari keliling padang beberapa kali*. Kena pulas perut dan tarik rambut dipelipis tu usah dibilang lah. Hampir setiap minggu bila kami gagal siapkan kerja sekolah.

4. Kenangan yang paling mengesan dijiwa apabila saya dirotan oleh Cikgu Muharram. Masa tu beliau adalah guru disiplin. Kesalahan meloloskan diri dari pagar sekolah untuk ke luar ke Pekan. Sungguh perit. Berbirat di tapak tangan dan punggung.

5. Timbul hasrat saya nak mengadu kepada ayah atas denda berat dari Cikgu Muharram. Tapi saya batalkan niat. Kerana saya sangat yakin, kalau saya mengadu, ayah akan pantas hubungi Cikgu Muharram dan *pasti dia akan minta ditambah hukuman*. Maka lebih baik saya diam.

6. Bila saya kongsikan pengalaman ini kepada rakan-rakan dalam pertemuan reunion pelajar SMDMM beberapa tahun yang lalu, rupanya rakan-rakan saya pun boleh dikatakan mempunyai pengalaman serupa.

7. Tidaklah kedengaran ayah-ayah kami datang ke sekolah memarahi para guru kerana meng”hukum” kami. *Jauh sekali mengheret guru ke mahkamah semata-mata kerana men”didik” kami dengan segala macam denda.*

8. Malah rata-rata kami mengakui, antara kenangan terindah kami ialah “denda-denda” yang guru kenakan ke atas kami dan *kerana itulah Alhamdulillah, kami jadi manusia.*

9. Penghujung tahun lepas, saya bertemu dengan guru saya cikgu Hanan dari Ganchong, yang kini uzur kerana penglihatannya tidak lagi berfungsi seperti biasa. Sambil merasa tangannya ke muka saya, beliau berkata ...

Alhamdulillah, tak sia sia aku pukul awak dulu. Jadi manusia juga akhirnya !

10. Ha ha, saya ketawa kecil mendengar kata-kata itu. Tapi itulah realiti. Saya bangga dia masih mengingati saya malah saya sangat berterima kasih kerana didikannya saya berjaya. Saya dan rakan-rakan karib seperti Usop, Sofi, Pudin dan lain-lain (yang panjang senarainya untuk di tulis di sini)_memang sangat bersyukur kepada Allah swt. mempunyai guru seperti beliau.

Melestari Hidup Positif

Sekian.