Mahathir punca mufti tidak bersuara – Abdul Hadi
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Para mufti di negara ini tidak bersuara bagi menghalang peristiwa Memali 1985 kerana berlaku campur tangan politik pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pada waktu itu, tiada pemisahan kuasa dan berlaku campur tangan politik dalam hal ehwal pentadbiran negara.
Katanya, pada zaman berkenaan juga, bukan sekadar mufti tidak boleh bersuara, sebaliknya hakim dipecat dan ketua polis negara juga tidak boleh bertindak dengan tepat.
“Mufti pun dia nak paksa, nak bercakap pun terpaksa diam pada masa itu. Lebih selamat. Itulah suasana pada masa itu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Pas di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir pada perhimpunan agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam yang menyalahkan para mufti tidak menghalang peristiwa Memali daripada berlaku pada 1985.
Dr. Mahathir berkata, para mufti sepatutnya bersuara bagi menentang ucapan Abdul Hadi yang dikenali Amanat Haji Hadi yang didakwa bertanggungjawab kepada peristiwa Memali 1985 yang mengorbankan 18 nyawa.
Amanat Haji Hadi merujuk ucapan Abdul Hadi yang tersebar di kalangan ahli Pas pada 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.
Pada ketika itu Abdul Hadi ialah Ahli Parlimen Marang dan Ketua Pas Terengganu.
Tambah Abdul Hadi, Dr. Mahathir tidak wajar memetik beberapa petikan di dalam amanat yang diberikan pada waktu itu sebaliknya melihat amanat itu secara sepenuhnya.
“Mengambil petikan ucapan tanpa mengambil penjelasan adalah satu tindakan yang salah. Ini kerana semata-mata kepentingan politik,” katanya.
Post a Comment