Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

MCA: Negara Musnah Jika Kit Siang PM - Tiong Lai       


Perpaduan kaum dan kemakmuran negara dijangka hancur jika Lim Kit Siang bergelar perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihanraya umum, kata MCA.

Pada masa sama, Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penasihat DAP itu bukan pemimpin yang berprinsip.

“Kit Siang tidak boleh dipercayai. Kita yakin beliau akan bawa kepada perpecahan masyarakat,” katanya selepas majlis bersama rakyat di Restoran Sin Yu Lee, Taman Kota Paloh, Kluang, pada Ahad.

Tiong Lai mengulas hasrat Kit Siang yang dilaporkan berhasrat menjadi ketua negara sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU-14.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menggesa rakyat menolak pemimpin DAP itu yang bercita-cita mahu menjadi perdana menteri disebabkan bercanggah dengan ketetapan Islam sebagai Agama Persekutuan serta parti itu dilihat gagal menjadi kerajaan bersih.

Tambah Tiong Lai, Ahli Parlimen Gelang Patah itu bijak memanipulasi politik dan sanggup membuat apa sahaja demi kemahuannya.

“Sebelum ini, Kit Siang sanggup menyokong PAS untuk meyakinkan rakyat, namun kini beralih memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila PAS tidak mengikut telunjuknya.

“Dia sememangnya tidak boleh dipercayai dan hanya omong-omong kosong tanpa ada prinsip,” katanya.

Sementara itu, Tiong Lai turut mengumumkan penyandang  kerusi Paloh, Teoh Yap Kun dikekalkan sebagai calon kawasan berkenaan.