Palestin: PAS dengan UMNO sepentas lagi?
Walaupun pelbagai pro dan kontra dilontarkan berkaitan penyertaan PAS dalam Himpunan Solidariti Selamatkan Masjidil Aqsa di Masjid Putrajaya Jumaat ini, saya berpandangan bahawa PAS tetap perlu konsisten dengan prinsip bahawa demi untuk memperjuangkan isu ummat Islam sejagat, PAS bersedia untuk berjuang bersama pihak-pihak lain walau berbeza dalam pendirian dan pegangan politik.
Hari Jumaat ini, pimpinan tertinggi PAS akan sekali lagi duduk sepentas bersama pemimpin Umno yang hadir atas kapasiti sebagai pemimpin negara disamping beberapa orang lagi tokoh nasional seperti Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan. Ini bukan program anjuran Umno tapi anjuran beberapa gabungan NGO. Dalam masa yang sama kita terus bekerja dan membuat persiapan rapi untuk berhadapan dengan Umno/BN dalam PRU 14. Muktamad dalam PRU 14 kita akan hadap Umno/BN!
Fokus di Masjid Putrajaya pada Jumaat ini ialah Solidariti Selamatkan Masjidil Aqsa. Tak ada agenda lain apatah lagi agenda UG!
Pimpinan PAS telah berada sepentas dengan pemimpin negara dari parti Umno dalam isu Palestin sejak dari zaman Almarhum Dato' Fadhil Noor lagi ketika Tun Dr Mahathir masih Perdana Menteri Malaysia. Berada sama atas pentas di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu ialah Tun Dr Mahathir, Almarhum Dato' Fadhil Noor, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Puak-puak PH kalau nak serang PAS berkaitan himpunan Jumaat ini, tolonglah pergi mengadap Pengerusi PH dulu dan tanya Tun Mahathir kenapa boleh duduk sepentas dengan Almarhum Dato' Fadhil Noor? Apakah lepas duduk sepentas, PAS UG dengan Umno? Mahathir antara pemimpin Umno yang paling banyak berlaku zalim terhadap PAS. Berkajang-kajang panjangnya kalau kita nak senaraikan. Tapi inilah jiwa besar yang dimiliki pimpinan PAS bila dihadapkan dengan isu ummah sejagat. Jiwa hebat seorang negarawan.
Dalam isu Rohingya, pimpinan PAS sekali lagi sepentas dengan pemimpin negara. Laungan UG bergema lagi. Gema yang tak menjelma di alam nyata. Ada lagi isu ummah yang timbul, pastinya sekali lagi PAS bersedia untuk duduk bersama.
PAS sudah lama meninggalkan zaman politik persepsi murahan dengan pemikiran sempit kepartian tak mengenal tempat. Budaya politik matang dan sejahtera telah menempatkan PAS jauh ke hadapan meninggalkan pesaing politik yang lain.
Dr Azman Ibrahim adalah AJK PAS Pusat
Post a Comment